Pemegang saham Datasonic lulus usul pertukaran nama kepada NexG Berhad | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemegang saham Datasonic lulus usul pertukaran nama kepada NexG Berhad

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 20 Feb - Pemegang Saham Datasonic Group Berhad telah meluluskan cadangan syarikat untuk menukar namanya kepada NexG Berhad (NexG).

 

Pada Mesyuarat Agung Luar Biasa Datasonic yang diadakan hari ini, para pemegang saham mengundi secara besar-besaran menyokong pertukaran nama kepada NexG.

 

Resolusi itu diluluskan dengan 58 pemegang saham, mewakili lebih 99.9% saham yang diundi, menyokong cadangan itu.

 

Perubahan nama itu mencerminkan hasrat Kumpulan untuk menjadi peneraju dalam penyepaduan teknologi generasi akan datang, seperti AI, merentas aplikasi kerajaan dan komersial.

 

Perubahan nama ini adalah sebahagian daripada rancangan transformasi kumpulan yang diumumkan pada 13 Disember 2024.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Datasonic umum Pelan Transformasi untuk jadi peneraju dalam Identiti Digital AI, tukar nama kepada NEXG

 

Rancangan transformasi itu antara lain menggariskan strategi syarikat iaitu membuat pelaburan strategik yang akan meluaskan kehadiran pasaran Kumpulan, meningkatkan portfolio produk dan perkhidmatan Kumpulan, dan mempercepatkan aktiviti R&D dalamannya.

 

Ini disokong oleh usaha untuk mengumpul sehingga RM554.95 juta melalui terbitan bonus sehingga 1.55 bilion waran berdasarkan satu waran bagi setiap dua saham yang dipegang oleh pemegang saham.

 

“Transformasi Kumpulan kami akan menyelaraskan visi kami dengan permintaan yang semakin meningkat bagi dunia yang mengutamakan digital,” kata Datuk Hanifah Noordin, Timbalan Pengerusi Eksekutif & Ketua Pegawai Eksekutif Datasonic Group Berhad.

 

 

Datuk Hanifah Noordin
                                       Datuk Hanifah Noordin

 

 

“Dengan memanfaatkan teknologi generasi akan datang seperti AI, kami meletakkan diri kami untuk memainkan peranan penting dalam inisiatif transformasi digital nasional seperti MyDigital ID, memastikan kami kekal di barisan hadapan dalam menyampaikan nilai kepada pemegang kepentingan kami dan menyokong aspirasi ekonomi digital Malaysia.

 

“Transformasi yang dirancang akan memanfaatkan rekod operasi cemerlang kami dan memperluaskan rangkaian keupayaan untuk meningkatkan dengan ketara prospek pertumbuhan Kumpulan dan mewujudkan organisasi yang lebih berdaya saing dan berdaya tahan.

 

"Akhirnya, ia juga akan menyediakan platform untuk memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat untuk pendigitalan di kalangan kerajaan antarabangsa, serta pengembangan Kumpulan ke dalam sektor komersial, membuka peluang pasaran baharu di Malaysia dan di peringkat global,” kata beliau. - DagangNews.com