KUALA LUMPUR 2 Okt – Nestlé (Malaysia) Berhad kini berada di landasan pemulihan selepas terkesan gerakan boikot pengguna pada tahun kewangan 2024, menurut Maybank Investment Bank.
Firma penyelidikan tersebut berkata, data terkini menunjukkan berlaku peningkatan jualan domestik pelbagai produk keluaran syarikat berkenaan sebanyak 6% tahun ke tahun (YoY) pada suku kedua 2025 (2Q25).
Tambahnya, momentum pemulihan ini dijangka berterusan lagi pada separuh kedua tahun ini, dipacu oleh skim bantuan tunai kerajaan menerusi Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang bermula 31 Ogos 2025.
"Kami turut mendapati ada lonjakan trend perbelanjaan pengguna di seluruh menjelang musim perayaan hujung tahun serta cuti penggal akhir persekolahan," kata Maybank IB dalam satu nota kajiannya.
Sehubungan itu, firma tersebut masih mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham Nestle, dengan harga sasaran iaitu RM107.00 daripada RM99.00 sebelumnya, berdasarkan pertumbuhan jangka panjang 2.5%.
Tambahnya, meskipun imej jenama syarikat itu terjejas teruk akibat kempen boikot, namun kedudukan pasarannya adalah kekal kukuh dalam beberapa kategori utama yang gagal disaingi produk lawan.
Milo kekal dominasi
Antaranya Milo mengekalkan dominasi 72% dalam pasaran minuman panas, manakala Nescafe menguasai 27% pasaran kopi segera, dan Maggi kekal sebagai peneraju pasaran mi segera walaupun susut kepada 43%.
"Dengan lebih 90,000 unit simpanan stok (SKU) dalam 14 kategori produk yang disenaraikan di bawah program SARA, Nestle dijangka menjadi penerima manfaat utama bantuan tunai itu," jelas Maybank IB.
Menurutnya, tinjauan pasaran mendapati pengguna cenderung membelanjakan bantuan tersebut ke atas barangan tidak mudah rosak, sekali gus meningkatkan jualan produk syarikat itu dalam segmen teras.
Ia turut menjangkakan keuntungan bagi FY25 meningkat 23% YoY, didorong oleh pemulihan sentimen pengguna selepas boikot, lonjakan permintaan sempena musim perayaan akhir tahun serta SARA sendiri.
Nestle tambah firma berkenaan, turut menawarkan hasil dividen antara 2% hingga 3%, yang memberikan pulangan sederhana namun stabil kepada para pelabur sahamnya. - DagangNews.com








