KUALA LUMPUR 28 April - Nestlé (Malaysia) Bhd mencatatkan peningkatan keuntungan bersih kepada RM205.12 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, berbanding RM161.34 juta yang direkodkan pada tempoh sama tahun lalu.
Prestasi itu merupakan keuntungan suku tahunan tertinggi syarikat sejak suku pertama tahun kewangan 2022.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat berkata peningkatan tersebut didorong oleh pertumbuhan hasil yang kukuh, pengurusan kos berdisiplin serta kecekapan operasi berterusan di seluruh rantaian nilai.
Hasil bagi tempoh berkenaan meningkat 6.3% kepada RM1.88 bilion daripada RM1.77 bilion sebelumnya, disokong pelaksanaan komersial yang mantap serta aktivasi jenama sepanjang musim perayaan.
Selain itu, prestasi turut diperkukuh oleh penurunan harga komoditi utama seperti kopi dan koko.
“Langkah ini mencerminkan keupayaan syarikat mengurus tekanan kos luaran sambil mengekalkan fokus terhadap pertumbuhan melalui pelaburan berterusan dalam jenama dan keupayaan,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols berkata, walaupun persekitaran perniagaan pada 2026 kekal mencabar dengan tahap ketidaktentuan yang tinggi, syarikat yakin terhadap kekuatan asas operasinya.
Menurut beliau, portfolio jenama yang pelbagai, kemudahan pembuatan tempatan yang luas serta rangkaian pengedaran yang kukuh terus menjadi pemacu utama dalam memastikan prestasi yang mampan.
“Kami akan terus memastikan jenama kekal relevan dan mudah diakses, melaksanakan strategi secara konsisten merentas semua saluran serta mengurus kos dengan berdisiplin.
“Pendekatan ini membolehkan kami mengekalkan momentum prestasi sambil meletakkan syarikat pada landasan pertumbuhan mampan jangka panjang,” katanya.
Nestlé Malaysia kekal optimis untuk mencatatkan satu lagi tahun prestasi berdaya tahan, disokong strategi pertumbuhan berterusan serta keupayaan menyesuaikan diri dalam persekitaran operasi yang dinamik. - DagangNews.com








