KUALA LUMPUR 3 Jun — Sime Darby Property Berhad (SD Property) dijangka memberi tumpuan kepada Negeri Sembilan untuk menjadi pemacu utama pertumbuhan terutama Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0), kata TA Securities.
Firma penyelidikan tersebut berkata, sebagai salah satu pemaju utama koridor pembangunan lembah berkenaan, kumpulan itu diramal memainkan peranan penting kerana MVV 2.0 turut membuka potensi ekonomi Negeri Sembilan.
Katanya, lokasi itu juga sebahagian daripada Rancangan Fizikal Negara, mengubah koridor selatan Lembah Klang menjadi sempadan pertumbuhan baharu, dan memanfaatkan ketersambungan strategik berdekatan Greater Kuala Lumpur.
"SD Property menyumbang pengaktifan koridor ini dengan baki besar simpanan tanah di Nilai dan Labu kira-kira 1,620 hektar dan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM16 bilion," kata TA Securities dalam nota kajiannya.
Kata firma tersebut, pengurusan SD Property juga melihat Negeri Sembilan sebagai kawasan yang berkembang pesat, dengan menawarkan tanah perindustrian pada harga lebih kompetitif, dan separuh berbanding kos di Selangor.
Situasi ini dapat dilihat dalam komposisi jualan kerana Negeri Sembilan menyumbang 20 peratus daripada jumlah jualan hartanahnya pada suku pertama, meningkat ketara daripada purata hanya lima peratus pada FY24.
Permintaan kukuh untuk unit di Hamilton Nilai City dan maklum balas awal positif terhadap Vision Business Park (VBP) menyerlahkan kepentingan negeri itu semakin meningkat sebagai destinasi perindustrian strategik.
"Kami melihat VBP mampu menjadi sebuah estet perindustrian dan komersial bersepadu seluas 308 hektar yang terletak dalam MVV 2.0, serta merupakan projek utama untuk pemaju hartanah tersebut," kata TA Securities.
Projek itu yang dilancarkan SD Property pada April 2025, mempunyai anggaran GDV sebanyak RM2.4 bilion terletak strategik berhampiran infrastruktur utama termasuk KLIA, Pelabuhan Dalaman Nilai dan Lebuhraya Utara-Selatan.
VBP katanya, direka bagi menarik operator logistik, pengilang ringan dan perniagaan yang dipacu teknologi, dengan penawaran kilang siap dibina serta plot perindustrian kepada pejabat kedai komersial. - DagangNews.com








