KUALA LUMPUR 6 Mac — Selepas kejayaan Selangor dan Johor, kini Negeri Sembilan pula dijangka boleh menjadi lokasi tumpuan kepada perkembangan industri pusat data di Malaysia.
RHB Research berkata, Gamuda Berhad berusaha memperoleh 157 hektar tanah di Port Dickson, yang berpotensi menampung antara 500 megawatt (MW) dan satu gigawatt kapasiti bagi pembinaan sebuah pusat data.
Firma penyelidikan berkata, HSS Engineers Berhad sedang 'mengintai' projek pusat data yang berasingan di Negeri Sembilan dengan potensi saiz 100MW.
Secara keseluruhannya, ia percaya prospek pusat data di negara ini berkemungkinan kekal utuh malah di Johor sahaja, dengan merujuk kepada laporan oleh Cushman dan Wakefield, RHB Research berkata terdapat kira-kira 822MW kapasiti pusat data yang dirancang.
“Kami melihat keunggulan pemaju pusat data dari negara peringkat satu di Malaysia yang layak mendapat status pengguna akhir dan disahkan bebas risiko dikenakan Peraturan Penyebaran Kepintaran Buatan oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS),” katanya dalam satu nota kajian.
Mengenai keputusan kewangan sektor pembinaan bagi suku keempat 2024, RHB Research berkata, ia sejajar dengan ramalan apabila kemajuan pengiktirafan pendapatan kebanyakan kontraktor meningkat seperti yang dijangkakan.
Justeru dengan menaikkan sektor ini, firma penyelidikan itu menjangkakan peningkatan selanjutnya kerana pekerjaan yang diperoleh, terutamanya tahun lepas, akan beralih kepada fasa intensif kerja.
Ini ujarnya, adalah berdasarkan kepada keadaan buruh yang lebih baik dan trend harga bahan binaan yang boleh diurus.
“Daripada sembilan syarikat di bawah liputan kami yang melaporkan keputusan (untuk suku berakhir Disember 2024), tiga adalah sejajar, tiga pula melebihi manakala tiga jatuh di bawah jangkaan,” jelas RHB Research.
Syarikat yang didapati berprestasi rendah ialah Gabungan AQRS Berhad, Econpile Holdings Berhad dan Malaysian Resources Corp Berhad.
Sebaliknya, prestasi suku tahunan Sunway Construction Group Berhad (SunCon), Pintaras Jaya Berhad dan KKB Engineering Berhad pula melebihi jangkaan.
Sementara Kerjaya Prospek Group Berhad, MGB Berhad serta IJM Corp Berhad dengan Gamuda jelas firma penyelidikan itu adalah memenuhi jangkaan.
“Secara keseluruhannya, kami percaya kontraktor akan terus sibuk dengan tugas masing-masing serta tugasan yang akan datang. Pada 2024, jumlah nilai kerja yang dilakukan berjumlah RM159 bilion – tertinggi dalam rekod,” katanya.
Memandang ke hadapan, RHB Research berkata terdapat banyak projek pada masa akan datang antaranya keperluan mendesak untuk melengkapkan pautan kepada Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura.
Kemudahan itu akan memerlukan keperluan sistem pengangkutan lain, iaitu Transit Aliran Autonomi Bertingkat di Johor dengan permintaan untuk cadangan projek itu akan ditawarkan tidak lama lagi serta anggaran kos sekitar RM6 bilion hingga RM7 bilion.
Begitu juga, cadangan Laluan Rel Kita Selangor sejauh 211 kilometer dari Sabak Bernam melalui Sepang dan menjangkau ke Negeri Sembilan menambah baik projek-projek yang ditanda positif seperti Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang – yang mempunyai baki pakej bernilai kira-kira RM5 bilion, serta penmulihan semula lima stesen LRT3.
“Infrastruktur berkaitan air boleh mencipta peluang dengan kerajaan Selangor mencadangkan sistem terowong banjir bawah tanah yang bernilai RM6 bilion. Selain itu, 35 projek tebatan banjir dalam peringkat pra-pelaksanaan manakala 73 projek sedang dijalankan,” katanya.
Pilihan utama RHB Research untuk sektor itu termasuk Gamuda, SunCon dan Binastra Corp Berhad di tengah-tengah aliran kontrak yang stabil digabungkan dengan keterlihatan pendapatan yang membanggakan dalam tempoh dua tahun akan datang. - DagangNews.com








