KUALA LUMPUR 26 Nov – NCT Group menerusi anak syarikatnya, NCT Century Sdn Bhd memeterai kerjasama strategik bagi membangunkan projek tenaga boleh diperbaharui berskala besar melibatkan ladang solar berkapasiti 150-megawatt-peak (MWp) serta sistem storan tenaga bateri 200-megawatt-jam di Kedah, peralihan tenaga hijau di utara Semenanjung Malaysia.
Kerjasama itu dimeterai bersama Ecorise Solar Sdn Bhd dan Yingli Group Co Ltd menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) pada Sidang Kemuncak Kerjasama & Pembangunan Teknologi ASEAN 2025.
Projek berkenaan akan dibangunkan di Zon Ekonomi Sempadan Khas Delapan, Kedah, dan dijangka memainkan peranan penting dalam meningkatkan bekalan tenaga bersih kepada pasaran domestik, selain menyokong permintaan elektrik hijau yang semakin meningkat daripada perusahaan yang beralih kepada operasi rendah karbon.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan NCT Group, Datuk Seri Yap Ngan Choy berkata dalam kenyataan, pembangunan tersebut bakal membuka peluang nyata kepada pelabur serta pemain industri yang memerlukan sumber tenaga lebih bersih dan berdaya tahan.
“Kerjasama ini secara langsung menyokong misi kami untuk mengangkat koridor utara sebagai destinasi strategik bagi pembuatan termaju, logistik dan pertumbuhan rentas sempadan, terutamanya menerusi perluasan ekosistem taman perindustrian NCT InnoSphere,” katanya.
Di bawah perjanjian itu, NCT Group akan menyelaras urusan tanah bersama Northern Gateway serta mengurus semua keperluan kawal selia bagi melancarkan pelaksanaan projek.
Sementara itu, Ecorise Solar dan Yingli Group akan bekerjasama melaksanakan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) serta operasi dan penyelenggaraan jangka panjang, disokong kepakaran global Yingli dalam teknologi solar dan keupayaan teknikal tempatan Ecorise.
Bagi memacu pelaksanaan dan penyertaan pelaburan projek ini, satu syarikat tujuan khas (SPV) akan ditubuhkan.
Pembangunan ladang solar berkapasiti 150MWp bersama sistem storan tenaga 200MWh ini dijangka menjadi antara pemangkin utama kepada agenda tenaga boleh diperbaharui negara, khususnya dalam memperkukuh daya tahan bekalan elektrik hijau di utara Semenanjung Malaysia. - DagangNews.com








