NCT Group lancar Program Sukuk Wakalah RM1 bilion, pembinaan Fasa 2 NCT Smart Industrial Park | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

NCT Group lancar Program Sukuk Wakalah RM1 bilion, pembinaan Fasa 2 NCT Smart Industrial Park

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 7 NovNCT Group of Companies melancarkan serentak Program Sukuk Wakalah bernilai RM1 bilion dan pembinaan Fasa 2 NCT Smart Industrial Park (NSIP) di Kuala Langat, Selangor.


Menurutnya, ia menandakan dua pencapaian penting dalam strategi pertumbuhan dan pembiayaan kumpulan itu, yang disempurnakan Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri, Ng Sze Han.


Maybank bersetuju melanggan peringkat pertama bernilai sehingga RM390 juta daripada program Sukuk tidak ditaraf tersebut, menjadikan penampilan sulung NCT di pasaran modal hutang Malaysia.


Pengasas yang juga Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Yap Ngan Choy berkata, sukuk itu akan meningkatkan fleksibiliti pembiayaan modal serta menyokong strategi pertumbuhan jangka panjang.


“Kerjasama dengan Maybank mengukuh asas kewangan kami dan membuka peluang meneroka pasaran hutang domestik, serta mencipta nilai mampan bagi semua pihak berkepentingan,” ujarnya dalam kenyataan.


Jelas beliau lagi, Maybank Investment Bank Berhad dilantik NCT sebagai penasihat utama, penyelaras utama dan pengurus utama tunggal bagi pelaksanaan program serta terbitan pertama sukuk berkenaan.


Selepas pelancaran tersebut kata Ngan Choy, NCT memulakan acara pecah tanah pembinaan Fasa 2 NSIP di kawasan seluas 296.48 hektar dalam Wilayah Pembangunan Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS).


Kata beliau, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan mencecah sebanyak RM2.5 bilion, fasa baharu tersebut menawarkan saiz lot perindustrian lebih besar dan infrastruktur yang dipertingkatkan.


Ia juga tambahnya, disasarkan khusus kepada pelbagai syarikat industri berteknologi tinggi, logistik dan pembuatan, dengan penyiapan projek hartanah berkenaan dijadualkan siap sepenuhnya pada 2029.


Selain itu, Ngan Choy berkata, Fasa 2 memperkukuh ekosistem NSIP melalui akses lebih baik, kemudahan utiliti dinaik taraf serta sistem digital pintar yang menyokong operasi automasi dan bersifat lestari.


“Ini satu lagi mercu tanda penting bagi NCT. Kami komited memastikan setiap fasa siap mengikut jadual, sambil membentuk ekosistem industri pintar yang mampan dan berdaya saing global,” katanya.


Tambahnya, NSIP dijangka menjadi antara ekosistem perindustrian pintar paling maju di Malaysia, berperanan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi utama Selangor dan wilayah IDRISS. - DagangNews.com