NCT Alliance dapat kelulusan pemegang saham ambil alih NCT World bernilai RM490.3 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

NCT Alliance dapat kelulusan pemegang saham ambil alih NCT World bernilai RM490.3 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 31 DisNCT Alliance Berhad memperoleh kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi pengambilalihan secara sepenuhnya ekuiti dalam NCT World Sdn Bhd.


Langkah berkenaan jelas kumpulan itu, melibatkan nilai pembelian mencecah RM490.3 juta, dengan pembayaran bagi pengambilalihan tersebut akan melalui dua penerbitan saham yang berbeza.


Menurutnya, pemerolehan itu akan membabitkan sejumlah 104.2 juta saham biasa baharu dan sebanyak 917.2 juta saham keutamaan boleh tebus baharu (RCPS) diterbitkan pada harga 48 sen sesaham.


"Usaha strategik ini bakal memperkukuh NCT Alliance dengan penambahan dua projek industri utama, NCT Smart Industrial Park (NSIP) dan NCT InnoSphere (NIS)," maklumnya kepada Bursa Malaysia.


Ia akan menyumbang nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM4.8 bilion sepanjang enam tahun akan datang, dengan transaksi ini juga menambah 346 hektar tanah untuk pembangunan masa depan.


Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Seri Yap Ngan Choy berkata, pemegang saham memberikan mandat jelas untuk mempercepatkan proses integrasi NCT World ke dalam kumpulan.


"Perkembangan terbaharu daripada EGM ini seterusnya mampu memperteguhkan kedudukan syarikat dalam sektor taman perindustrian yang berprestasi tinggi," jelas beliau dalam kenyataan itu.


NSIP, taman perindustrian pertama di Malaysia yang diperakui serta diurus profesional, kini menarik minat pemain pembuatan dan logistik, dengan Fasa 1, 2, 3 dan 5 menyumbang GDV RM4.2 bilion.


Sementara NIS, yang terletak berdekatan sempadan Malaysia-Thailand, mencatat minat tinggi daripada para pelabur domestik dan luar negara dengan GDV RM605 juta. - DagangNews.com