IPOH 3 Mac - Projek pembangunan Ipoh Sentral yang bakal mengangkat status bandaraya Ipoh setanding bandar utama lain di negara ini sangat diperlukan selain memacu pertumbuhan ekonomi.
Bagaimana pun, usaha menaik taraf Stesen KTM Ipoh yang menjadi pintu masuk utama pelancong ke bandar ini perlu diberi perhatian.
Presiden Persatuan Pelancongan Perak, Datuk Mohd Odzman Abdul Kadir berkata, pihak berkuasa pada masa sama wajar melihat keperluan tersebut.
Menurut beliau, keadaan semasa stesen itu memberi kesan besar kepada pengalaman pelancong yang berkunjung ke bandar raya ini.

“Projek jangka panjang Ipoh Sentral ini sememangnya dinanti-nantikan dan akan memberi manfaat besar kepada Ipoh.
“Namun, keutamaan juga perlu diberikan kepada pemulihan serta menaik taraf Stesen KTM Ipoh.
“Jika tidak dilakukan dan terus terbiar tanpa penambahbaikan kita bimbang imej pelancongan Ipoh akan terjejas,” katanya.
Stesen KTM Ipoh yang mempunyai reka bentuknya berbentuk Moorish yang indah sehingga ada yang menggelarnya sebagai Taj Mahal Ipoh.
Bangunan warisan berusia lebih 100 tahun ini bagaimana pun berdepan isu penyelenggaraan termasuk pada bekas bangunan yang menempatkan Hotel Majestic.


Sehubungan itu, beliau menggesa Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) agar menaik taraf bangunan dan kemudahan awam di situ.
Ini termasuk memodenkan perkhidmatan serta menggantikan sistem pengumuman awam yang kurang berkesan.
Pada masa sama, Mohd Odzman turut mengingatkan agar pembangunan Ipoh Sentral dilakukan secara berperingkat-peringkat bagi mengelakkan gangguan lalu lintas dan mengekalkan keunikan bandar raya ini.
“Industri pelancongan bukan hanya tentang makanan dan tarikan semata-mata, tetapi juga melibatkan aspek gaya hidup masyarakat setempat.
“Ini termasuk kebersihan dan penyelenggaraan kemudahan awam,” ujarnya.


Pembangunan Ipoh Sentral di kawasan seluas 27.11 hektar akan dimulakan dalam tempoh enam bulan lagi dengan fasa pertama melibatkan landskap, penambahbaikan serta pengekalan elemen warisan dan budaya.
Projek yang berorientasikan transit (TOD) itu dijangka mengambil masa dua tahun.
Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM6.26 bilion, ia dijangka membawa manfaat besar kepada ekonomi tempatan dan nasional. - DagangNews.com







