Nahas helikopter PDRM, kaedah sewaan cepatkan proses dapat pesawat pengganti | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Nahas helikopter PDRM, kaedah sewaan cepatkan proses dapat pesawat pengganti

Helikopter Ecureuil milik PDRM jenis sama seperti yang terbabit dalam nahas di Johor.
FOKUS BERITA oleh ZAKI SALLEH

Nahas sebuah helikopter PDRM jenis AS355N Ecureuil yang terhempas berhampiran jeti Maritim Malaysia di Sungai Pulai, Gelang Patah pada Khamis lalu menjadi insiden terbaru membabitkan aset pasukan keselamatan.

 

Pesawat terhempas ketika menyertai lintas hormat dalam demonstrasi Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (MITSATOM 2025).

 

Demonstrasi itu membabitkan kerjasama empat negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura sebagai sebahagian daripada latihan keselamatan serantau.

 

 

 

 

 

Ini bermakna aset helikopter yang dimiliki Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM kini telah kurang sebuah lagi.

 

Pesawat
Helikopter malang PDRM yang terbabit dalam nahas semasa demonstrasi di Gelang Patah, Johor.

 

Pesawat

 

Berdasarkan gambar nahas, keadaan helikopter malang tersebut adalah teruk dan kemungkinan tidak boleh lari digunakan.

 

Kali terakhir aset udara PDRM terbabit nahas ialah pada 2020 apabila helikopter jenis AW139 kemalangan di Tawau, Sabah.

 

Enam tahun sebelum itu iaitu pada 2014 sebuah helikopter Ecureuil terhempas di Tanah Merah, Kelantan ketika misi banjir.

 

Nahas menyebabkan PDRM kekurangan aset manakala negara pula kerugian kerana terpaksa mengambil kira kos pesawat termasuk lain-lain kos seperti kehilangan sumber tenaga manusia dan jam penerbangan.

 

Penggantian mesti dibuat, namun ia tidak akan berlaku dalam masa sebulan dua kerana banyak prosedur yang perlu dilakukan termasuk kelulusan kewangan kerajaan.

 

Pesawat
Helikopter Ecureuil turut digunakan dalam operasi melibatkan pasukan khas seperti Komando 69 PDRM.

 

Pesawat

 

Helikopter

 

Dua helikopter PDRM yang terbabit nahas pada 2014 dan 2020 juga masih belum diganti menyebabkan PGU terpaksa beroperasi secara terhad mengikut aset-aset yang ada.

 

Helikopter bukan sahaja digunakan untuk rondaan, malah melakukan operasi cegah jenayah selain operasi-operasi taktikal dan berisiko tinggi melibatkan pelbagai unit dalam PDRM.

 

Sebab itu, apabila berlaku situasi seperti ini keputusan kerajaan untuk mendapatkan helikopter secara sewaan menerusi perkhidmatan yang disediakan syarikat swasta ada kelebihan.

 

Pendekatan penswastaan melalui mekanisme pajakan ini dilihat sebagai langkah strategik yang bukan sahaja dapat meningkatkan keberkesanan perolehan, malah memastikan pengurusan sumber lebih cekap.

 

Helikopter

 

Mengikut kontrak, Weststar Aviation Services Sdn. Bhd. (Westar Aviation) bertanggungjawab untuk menjalankan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih helikopter. 

 

Menerusi sewaan, kerajaan dapat memiliki helikopter lebih cepat dalam jumlah besar berbanding kaedah beli yang mana penghantaran pesawat memakan masa 3 hingga 4 tahun secara berperingkat-peringkat.

 

Syarikat perlu memastikan bahawa helikopter mengekalkan tahap kesediaan dan operasi sekurang-kurangnya 85%. 

 

Helikopter juga diinsuranskan berdasarkan nilai gantian, memastikan penggantian 1:1 jika berlaku kemalangan. 

 

Sekiranya berlaku situasi tidak diingini atau nahas, pasukan keselamatan mempunyai jalan tengah untuk mendapatkan aset pengganti dalam waktu segera.

 

Helikopter
Helikopter AW139 milik PDRM.

 

Helikopter

 

Dengan adanya aset pengganti ini ia tidak merencatkan operasi dan penugasan setiap agensi dapat diteruskan.

 

Semua kos pesawat termasuk latihan dan alat-alat ganti telah dimasukkan dalam nilai kontrak sebanyak RM16.5 bilion untuk tempoh 15 tahun.

 

Mengikut kontrak ini Pasukan Gerakan Udara PDRM akan menerima 7 buah helikopter baharu.

 

TUDM pula akan menerima 12 buah untuk TUDM, TLDM (2), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (4), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (2) dan Jabatan Perdana Menteri (1).

 

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini memang mempunyai rancangan untuk menggantikan lima buah helikopter AS355 Ecureuil sedia ada yang telah dioperasikan sejak 30 tahun lalu.

 

Helikopter

 

Helikopter

 

Helikopter

 

Dengan usianya memang wajar helikopter tersebut diganti.

 

Bagaimana pun, tender helikopter ringan yang dibuka pada Oktober tahun lalu dibatalkan dipercayai setelah kerajaan merancang menyewa 28 buah helikopter termasuk untuk PDRM.

 

Walaupun kaedah sewaan helikopter ini dipertikaikan banyak pihak, namun di atas kertas ia memberi kelebihan kepada kerajaan sekiranya pesawat terbabit dalam nahas kerana mempunyai pengganti.

 

Sejauhmana mekanisme perolehan ini berjalan mengikut syarat dan kontrak hanya akan diketahui apabila pesawat-pesawat diterima dan mula dioperasikan. - DagangNews.com