MySyarikat sasar 1 juta pelanggan aktif, masuk Papan ACE di Bursa Malaysia menjelang 2028 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MySyarikat sasar 1 juta pelanggan aktif, masuk Papan ACE di Bursa Malaysia menjelang 2028

MALIK Hairuddin ketika berucap pada acara pemeteraian MoU antara Byond Tech Global dengan Maybank Trustees di Kuala Lumpur hari ini. - DagangNews.Com / Amree Ahmad
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Sept – Platform sistem sumber manusia (HR), MySyarikat diuruskan Byond Tech Global Berhad menyasarkan kira-kira sejuta pelanggan yang aktif dalam tempoh beberapa tahun akan datang.


Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Malik Hairuddin berkata, sasaran tersebut mampu dicapai selepas syarikat berkenaan menjalinkan kerjasama strategik dengan Maybank Trustees Berhad.


Jelasnya, kerjasama tersebut menyepadukan aplikasi HR berasaskan awan dengan institusi amanah berlesen yang ada lebih 800,000 pelanggan dari kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). 


"Ketika ini, MySyarikat sudah ada hampir 200,000 pelanggan aktif termasuk dari Singapura, Brunei dan Indonesia. Sasaran kita untuk mencapai sejuta pelanggan dalam dua atau tiga tahun lagi," katanya.


Beliau menjelaskan demikian ketika ditemui pemberita selepas pemeteraian Memorandum Persefahaman dengan Maybank Trustees diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nor Fazlina Mohd Ghouse, hari ini.


Mengulas lanjut, Malik berkata, Byond Tech yang ditubuhkan sejak 2014, juga tidak sabar untuk disenaraikan ke Pasaran ACE di Bursa Malaysia bagi menambah permodalan syarikat tersebut menjelang 2028. 


Tambah beliau, niat untuk penyenaraian berkenaan memang sudah dirancangnya sejak 2017 namun usaha ke arah itu telah mula dilaksanakan dengan lebih serius selepas platform MySyarikat dibentuk pada 2019.

 

malik
MALIK Hairuddin (empat dari kiri) dan Nor Fazlina Mohd Ghouse (lima dari kiri) menunjukkan dokumen MOU dimeterai di Kuala Lumpur hari ini. - DagangNews.Com / Amree Ahmad


"Insya-Allah, saya nampak potensi penyenaraian ke bursa itu mampu membolehkan kami untuk bergerak lebih luas ke seluruh rantau Asia Tenggara dengan lancar dalam tiga tahun lagi," kata beliau.


Setakat ini tambahnya, Byond Tech sudah membuka syarikatnya dengan kerjasama rakan kongsi di Jakarta, Indonesia, manakala Singapura dan Brunei hanya mencatatkan sejumlah pelanggan aktif.


Malik menjangkakan proses penerbitan tawaran awam permulaan (IPO) akan dilaksanakan syarikat itu pada 2026 atau selewat-lewatnya 2027 selepas pelbagai urusan taja jamin dapat diselesaikan. 


Dari segi kelayakan untuk tujuan itu tambahnya, Byond Tech disasarkan amat optimis mampu bersedia untuk memenuhi segala kriteria ketat yang ditetapkan oleh Bursa Malaysia pada tahun depan.


"Saya berharap syarikat ini dapat menerbitkan IPO dalam masa satu atau dua tahun lagi, dan akan memberi peluang kepada masyarakat untuk melabur untuk membina firma ini," katanya. - DagangNews.com