KUALA LUMPUR 3 Sept – Byond Tech Global Berhad melancarkan rumusan perancangan pusaka perniagaan pertama seumpamanya khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.
Pemaju platform sumber manusia (HR) berasaskan awan MySyarikat itu menjalinkan kerjasama dengan Maybank Trustees Berhad melalui kerjasama inovatif dan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU).
MySyarikat menjadi platform pengurusan modal insan pertama menyepadukan perkhidmatan perancangan harta dan pewarisan dilesenkan oleh bank, ke dalam ekosistem digital HR harian majikan PKS.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Byond Tech, Malik Hairuddin berkata, usaha ini bukan sahaja memperkasakan operasi syarikat, malah membantu pemilik perniagaan yakin merancang masa depan.
“Kecekapan hanya satu aspek bagi kesinambungan perniagaan mampan dan dengan kerjasama Maybank Trustees, kami membawa perancangan legasi bisnes sebagai keperluan, bukan lagi pilihan,” katanya.
Beliau menjelaskan demikian ketika ditemui pemberita selepas pemeteraian MOU itu dengan Maybank Trustees yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nor Fazlina Mohd Ghouse, di sini hari ini.
Dilancarkan pada 2019, platform MySyarikat ketika ini digunakan oleh lebih 27,000 perniagaan dan 180,000 pengguna aktif di seluruh Malaysia selain Singapura, Brunei dan terbaharu, Indonesia.
Pelanggan aplikasi dihasilkan Byond Tech tersebut kini meliputi sektor hospitaliti, runcit, pendidikan dan penjagaan kesihatan termasuk dari kalangan pelbagai syarikat milik kerajaan (GLC) sendiri.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pembangunan Perniagaan Byond Tech, Afiq Arbae berkata, inisiatif terbaharu kali ini menormalkan perancangan legasi sebagai sebahagian rutin operasi perniagaan syarikat tempatan.
“Kita tidak lagi mahu perancangan harta duduk di luar sistem digital dan kerjasama dua pihak ini merupakan langkah penting dalam menyokong daya tahan jangka panjang PKS sendiri,” ujar beliau lagi.
MySyarikat turut merancang pengembangan serantau serta perancangan penyenaraian di Bursa Malaysia dalam beberapa tahun, selari dengan usaha membina ekosistem perniagaan yang mampan dan inklusif.
Dalam pada itu, Nor Fazlina menegaskan bahawa ketiadaan perancangan pewarisan syarikat boleh memberi risiko yang besar kepada kelangsungan sesebuah perniagaan setelah pemiliknya meninggal dunia.
Usaha Maybank Trustees ini juga katanya, selari dengan agenda pendigitalan dan celik kewangan negara, sekali gus menyediakan ekosistem perniagaan yang lebih menyeluruh terutama kepada PKS tempatan.
“Sebagai peneraju dalam perancangan harta konvensional dan Islamik, kami komited mempermudah akses kepada rumusan pusaka syarikat melalui pendekatan digital seperti ini,” kata beliau. - DagangNews.com








