KUALA LUMPUR 26 Mei — MYEG Services Berhad menjalin kerjasama strategik dengan penyedia infrastruktur digital Singapura, Singapore Trade Data Exchange Services Pte Ltd (SGTraDex) membolehkan kedua-dua pihak memudahkan perdagangan rentas sempadan secara digital.
Ia menandakan pengukuhan hubungan antara Malaysia dan Singapura dalam memperkukuh kerjasama ekonomi digital serta mencerminkan visi bersama ke arah pembangunan rumusan digital rentas sempadan yang boleh saling beroperasi, dan menjadi asas integrasi serantau lebih luas.
Mereka akan meneroka penyepaduan teknikal antara platform masing-masing bagi membentuk saluran selamat untuk pertukaran data berkaitan perniagaan dengan usaha ini dijangka mempercepatkan lagi peralihan daripada aliran perdagangan berasaskan kertas kepada sistem digital.
"Ia juga termasuk penyampaian rekod elektronik yang boleh disahkan dan langkah tersebut sejajar dengan agenda serantau untuk melancarkan perdagangan serta menguatkan rantaian bekalan di ASEAN," kata kedua-dua syarikat berkenaan dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Memorandum Persefahaman (MoU) antara MYEG melalui Zetrix dan SGTraDex dimeterai pada Mesyuarat Meja Bulat Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China yang dianjurkan oleh Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Pengasas Bersama Zetrix, Datuk Fadzli Shah berkata, kerjasama ini menandakan permulaan era baharu dalam pendigitalan perdagangan ASEAN serta dengan menyelaras infrastruktur digital dipercayai antara Malaysia dan Singapura, kami sedang membina komponen asas.
"Kerjasama ini dijangka dapat menghubungkan kesemua negara anggota ASEAN secara digital, yang akan mengurangkan halangan, meningkatkan kepercayaan, dan mempercepatkan pertumbuhan selain MoU ini turut menyokong Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA),” katanya.
Pengerusi SGTraDex, Tan Chin Hwee pula berkata, kerjasama dengan MYEG mencerminkan komitmen syarikat itu dalam memperkasa perdagangan digital yang terbuka dan dipercayai sekali gus meningkatkan ketelusan dan tahap keselamatan dalam transaksi rentas sempadan.
"Dengan menyelaraskan usaha bersama-sama rakan serantau seperti Malaysia, kami sedang bergerak ke arah kesalinghubungan yang lebih baik dan meneroka peluang pertumbuhan digital secara lebih inklusif di seluruh rantau Asia Tenggara,” kata beliau.
Kedua-dua syarikat tersebut berharap akan dapat melengkapkan usaha lebih luas ke arah pengiktirafan bersama Identiti Digital (Digital ID), dokumen perdagangan elektronik, dan kelayakan kawal selia yang merentasi sempadan.
Melalui teknologi blok rantai seperti Zetrix, blok rantai lapisan-1 oleh MYEG, dan rangka kerja seperti TradeTrust di SGTraDex, inisiatif ini katanya, akan memastikan maklumat yang disahkan antara kerajaan serta perusahaan kekal tidak diubah dan mudah dikesan.
SGTraDex merupakan sebuah utiliti digital awam-swasta yang diasaskan Infocomm Media Development Authority (IMDA) Singapura bersama konsortium industri perbankan, perdagangan dan logistik termasuk Advario, DBS, Jurong Port, OCBC, ONE, PIL, PSA, Standard Chartered, Trafigura, dan UOB.
Inisiatif tersebut kata kenyataan itu, juga memainkan peranan penting kepada usaha pendigitalan logistik dan pembiayaan perdagangan dengan menghubungkan silo data dalam rantaian bekalan.
Menerusi MoU ini, kedua-dua pihak dijangka meneroka aliran baharu B2B dan B2B2G serta membangunkan perkhidmatan yang disesuaikan untuk kegunaan rentas sempadan. - DagangNews.com








