MYEG, PPZ-MAIWP perkenal sistem pembayaran wakaf baharu dalam talian | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MYEG, PPZ-MAIWP perkenal sistem pembayaran wakaf baharu dalam talian

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 20 Mac — MYEG Services Berhad dan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bekerjasama memperkenalkan Sistem Pembayaran Wakaf Dalam Talian yang baharu melalui portal MYEG.
 

Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua pihak itu berkata, inisiatif tersebut bertujuan 'merevolusikan' mekanisme sumbangan wakaf dengan menawarkan platform transaksi digital yang dijamin selamat dan beroperasi lancar.
 

Melalui portal Wakaf MYEG, orang ramai boleh berwakaf pada bila-bila masa dan di mana sahaja kerana platform itu direka untuk meningkatkan ketelusan serta memastikan setiap sumbangan wakaf direkod dan dipantau secara automatik.
 

"Selain itu, ia mengurangkan risiko penipuan dan salah urus dengan memanfaatkan teknologi untuk menjadikan pentadbiran zakat dan wakaf sebagai lebih mudah diakses serta telus dalam memacu pembangunan sosio-ekonomi," kata kenyataan itu.
 

Pelancaran platform pembayaran dalam talian ini jelasnya, sejajar dengan saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, yang mahu  Malaysia menerajui ekonomi Muslim yang lebih inovatif.
 

Pengarah MYEG, Datuk Mohd Jimmy Wong Abdullah berkata, sebagai rakan strategik PPZ-MAIWP, MYEG komited menyediakan rumusan digital yang selamat dan lancar kerana peningkatan kes penipuan dalam talian adalah isu yang perlu ditangani sebaiknya.
 

"Ini termasuklah dalam pengurusan sumbangan wakaf. Portal Wakaf MYEG memastikan ketelusan, mengautomasikan rekod sumbangan, mengeluarkan resit rasmi dengan serta-merta dan dapat mengukuhkan kepercayaan awam terhadap sumbangan wakaf,” katanya.
 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata,  penyediaan saluran bayaran wakaf menerusi platform MYEG merupakan satu perkembangan yang positif di dalam era institusi kewangan zakat dan wakaf.
 

MYEG katanya, menyediakan ciri-ciri sesuai dengan kehendak teknologi semasa dan bayaran boleh dibuat sehingga RM30,000 dalam satu transaksi, selain setiap pewakaf layak menikmati potongan cukai pendapatan sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat.
 

“Kami percaya kelebihan ditawarkan ini bukan sahaja mampu menarik ramai orang berwakaf, bahkan merupakan strategi terbaik dalam memastikan ibadah wakaf ini dapat dilaksanakan untuk jangka masa panjang dan pantas oleh orang ramai,” tambah beliau.
 

Portal Wakaf MYEG adalah sistem pertama seumpamanya dibangunkan dengan kerjasama MYEG dan PPZ-MAIWP yang menawarkan saluran digital baharu untuk orang ramai berwakaf selain secara automatik merekod dan memantau setiap sumbangan wakaf yang dibayar.
 

Wakaf merujuk kepada amalan individu menderma atau menyumbangkan sesuatu aset atau wang tunai untuk tujuan kebaikan dan manfaat secara berterusan.
 

Sumbangan wakaf ini boleh digunakan untuk menyokong pelbagai inisiatif sosial dan kebajikan yang memberi faedah kepada masyarakat melalui pelbagai sektor seperti pendidikan, kesihatan, perumahan dan bantuan bencana.
 

Dengan menyokong inisiatif ini, pewakaf membantu dalam mengurangkan ketidaksamaan dan meningkatkan akses kepada aspek pendidikan dan penjagaan kesihatan.
 

Sumbangan wakaf boleh dilaksanakan oleh sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa, agama atau kewarganegaraan dan layak untuk menikmati potongan cukai pendapatan di Malaysia.
 

Sebagai simbolik kepada pelancaran portal ini, MYEG dan PPZ-MAIWP menganjurkan majlis iftar di Menara MYEG dengan menjemput 40 orang anak yatim dari Pertubuhan Baitul Ehsan AlKhairi, Taman Maluri, Kuala Lumpur.
 

Kedua-dua pihak itu turut mengagihkan 'duit raya' kepada setiap anak yatim tersebut serta menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM2,500, barangan kering dan peralatan sukan kepada pertubuhan itu.
 

Sementara itu, PPZ-MAIWP melalui dana pemegang wakalah turut menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah RM5,000 kepada pertubuhan yang sama. - DagangNews.com