MyEG catat untung bersih naik 21%, peroleh RM181 juta pada 4QFY2024 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MyEG catat untung bersih naik 21%, peroleh RM181 juta pada 4QFY2024

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Feb — MyEG Services Berhad melaporkan peningkatan sebanyak 20.62 peratus dalam keuntungan bersih suku keempatnya yang didorong antaranya oleh sumbangan daripada yuran perkhidmatan aplikasi dan transaksi digital.
 

Dalam makluman yang difailkan kepada bursa, kumpulan itu memperoleh laba bersih sebanyak RM181.13 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2024 (4QFY2024), meningkat RM30.97 juta daripada RM150.16 juta pada setahun sebelumnya.
 

Hasil perolehan juga dilaporkan berjaya melonjak kepada RM293.53 juta daripada cuma RM222.04 juta dengan pendapatan sesaham MyEG untuk tempoh 4QFY2024 turut meningkat kepada sebanyak 2.40 sen daripada hanya dua sen pada 4QFY2023.
 

Perkembangan tersebut membolehkan kumpulan itu merancang pembayaran dividen akhir sebanyak 2.49 sen sesaham, namun tertakluk kepada kelulusan pemegang saham yang bakal menjadikan jumlah dividennya untuk FY2024 kepada 2.74 sen sesaham.
 

Sekadar perbandingan, nilai dividen FY2023 adalah 1.93 sen sesaham. Pendapatan bagi suku tersebut dalam tinjauan telah diimbangi sebahagiannya dengan perakuan kepada kerugian nilai saksama ke atas pelaburan MyEG dalam HeiTech Padu Berhad.
 

MyEG memegang sebanyak 15.89 peratus kepentingan dalam HeiTech Padu, yang turut menjadikan syarikat berkenaan sebagai pemegang saham kedua paling besar selepas Rosetta Partners Sdn Bhd, yang setakat ini sudah memiliki 22.45 peratus.
 

Untuk FY2024, keuntungan bersih MyEG melonjak 43.04 peratus kepada RM697.55 juta daripada RM487.65 juta pada FY2023, dengan hasil pendapatannya pula meningkat sebanyak 31.34 peratus kepada RM1.02 bilion daripada hanya RM774.26 juta.
 

Perkembangan positif tersebut menandakan pendapatan tahunan tertinggi MyEG sejak penyenaraiannya di bursa pada Januari 2007. Memandang ke hadapan, MyEG dalam makluman berkenaan menjangka untuk memacu pertumbuhan organiknya pada FY2025.
 

Ini termasuk dengan memperkenalkan perkhidmatan inovatif yang bakal menyepadukan aspek teknologi terbaharu yang berasaskan kepada kecerdasan buatan (AI) dengan infrastruktur blockchain dan Web3 di seluruh pasaran Malaysia serta global.
 

Syarikat itu, dengan kerjasama MIMOS Technology Solutions Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh MIMOS Bhd, sedang membangunkan komponen Infrastruktur Rantaian Sekat Malaysia (MBI) berdasarkan teknologi blockchain Zetrix, yang dikendalikannya.
 

Sistem MBI ini jelas MyEG, boleh digunakan untuk melindungi peribadi pengguna dan kerahsiaan data maklumat luar rantaian, serta untuk membolehkan spesifikasi pemilikan, yang berpotensi berfungsi sebagai identiti digital nasional.
 

“Dengan MBI dan platform blockchain Layer 1 sendiri iaitu Zetrix yang datang dalam talian, MyEG terus berusaha mengkomersialkan perkhidmatan inovatif apabila Web 3.0 mula diterima pakai secara lebih meluas,” kata syarikat tersebut.
 

Selain itu, MyEG menyerlahkan integrasi Zetrix dengan platform blockchain nasional dari China, Xing Huo, yang akan memudahkan perdagangan rentas sempadan dan menandakan pengembangan aktiviti kumpulan tersebut ke pasaran global.
 

Syarikat itu juga berhasrat untuk memanfaatkan teknologi yang berkembang ini untuk membangunkan aplikasi autonomi yang mampu beroperasi dan melaksanakan tugas biasa serta berulang tanpa memerlukan sebarang pengawasan manusia. - DagangNews.com