Muzium perubatan dibuka di UM hasil sumbangan RM2 juta Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Top Glove, Tan Sri Dr. Lim Wee Chai | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Muzium perubatan dibuka di UM hasil sumbangan RM2 juta Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Top Glove, Tan Sri Dr. Lim Wee Chai

Tan Sri Dr. Lim Wee Chai (kiri) meninjau spesimen yang dipamerkan di Muzium Perubatan Tan Sri Dr. Lim Wee Chai di Fakulti Perubatan Universiti Malaya.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 28 Jan - Muzium Perubatan Tan Sri Dr. Lim Wee Chai secara rasmi dibuka di Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), satu pencapaian yang terhasil melalui sumbangan RM2 juta daripada Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Top Glove, Tan Sri Dr. Lim Wee Chai yang juga alumni institusi pengajian tinggi tersebut.

 

Muzium itu yang menggabungkan dua entiti bersejarah iaitu Pusat Sumber Anatomi dan Muzium Patologi, menampilkan antara koleksi spesimen manusia terbesar di negara ini, berserta pameran interaktif menggunakan teknologi tinggi. 

 

Ia berfungsi sebagai jambatan antara pendidikan perubatan tradisional dan pembelajaran berfokuskan masa depan.

 

Wee Chai berkata, beliau berbesar hati diberi peluang untuk memberi sumbangan kepada alma maternya.

 

UM
Dari kiri Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dato’ Dr. Yang Faridah Abdul Aziz, Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaya, Tan Sri Datuk Ter Leong Yap dan Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Top Glove, Tan Sri Dr. Lim Wee Chai pada majlis perasmian Muzium Perubatan Tan Sri Dr. Lim Wee Chai.

 

"Saya amat berbesar hati dapat menyumbang kepada projek yang bermakna ini. Sebagai alumni UM, adalah satu penghormatan bagi saya untuk memberi kembali kepada institusi yang telah memainkan peranan besar dalam pembentukan perjalanan hidup dan kerjaya saya. 

 

"Saya sangat bersemangat tentang pembelajaran sepanjang hayat, kehidupan sihat dan kemajuan dalam bidang penjagaan kesihatan. Saya berharap muzium ini akan memberi inspirasi dan mempersiapkan generasi baharu profesional penjagaan kesihatan, selain menggalakkan celik kesihatan serta memupuk penghargaan yang lebih mendalam terhadap amalan dan kemajuan penjagaan kesihatan di kalangan orang awam," katanya dalam satu kenyataan.

 

Muzium Perubatan Tan Sri Dr. Lim Wee Chai dirasmikan oleh Tan Sri Datuk Ter Leong Yap, dari Lembaga Pengarah UM, dalam satu majlis, hari ini.

 

Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman dalam pada itu mengucapkan terima kasih dan berbangga dengan penubuhan muzium perubatan baharu tersebut.

 

"Kami ingin merakamkan penghargaan yang tulus kepada Tan Sri Dr. Lim atas kemurahan hati luar biasa beliau, yang akan meningkatkan kapasiti Fakulti Perubatan kami untuk mendidik pemimpin penjagaan kesihatan negara kini dan akan datang.

 

"Muzium perubatan ini merupakan satu langkah penting dalam memajukan visi UM untuk menjadi peneraju global dalam bidang perubatan," ujarnya.

 

Dekan Fakulti Perubatan UM, Profesor Dato’ Dr. Yang Faridah Abdul Aziz berkata, muzium berkenaan tidak seperti mana-mana muzium lain di negara ini. 

 

"Ia secara unik menggabungkan perubatan, budaya, seni dan sejarah untuk memberi inspirasi perubahan dalam pendidikan dan penyelidikan penjagaan kesihatan. 

 

"Melalui pameran dinamik dan persekitaran yang menarik, pengunjung dapat meneroka dunia perubatan, mempelajari tokoh nasional dalam bidang ini, serta memperoleh wawasan tentang evolusi sistem penjagaan kesihatan," jelasnya.

 

UM
Tan Sri Dr. Lim Wee Chai (dua dari kiri) mendengar penerangan pada sesi TV interaktif tentang falsafah kesihatan beliau semasa majlis perasmian Muzium Perubatan Tan Sri Dr. Lim Wee Chai di Fakulti Perubatan Universiti Malaya.

 

Muzium Perubatan Tan Sri Dr. Lim Wee Chai turut dibuka kepada orang ramai, dengan pameran interaktif yang turut memaparkan ruang khas mengenai Wee Chai dan falsafah kesihatannya. 

 

Muzium itu menggalakkan perkongsian dengan organisasi pendidikan dan komuniti sambil menyediakan pengalaman yang mendalam mengenai tubuh manusia, penyakit yang berkembang, amalan perubatan, serta evolusi penjagaan kesihatan.

 

Sebagai universiti perubatan tertua di Malaysia, Fakulti Perubatan UM terus komited dalam membentuk pemimpin penjagaan kesihatan masa depan melalui kecemerlangan dalam pendidikan perubatan, penyelidikan dan inovasi. - DagangNews.com