Musim puncak pengeluaran lonjak hasil Johor Plantations pada 2HFY25 - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Musim puncak pengeluaran lonjak hasil Johor Plantations pada 2HFY25 - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 Ogos — Johor Plantations Group Berhad dijangka melonjak hasilnya pada enam bulan terakhir 2025 berikutan musim puncak pengeluaran buah tandan segar (BTS), kata RHB Research.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, tempoh berkenaan diramal berlaku sepanjang suku ketiga tahun ini yang membolehkan lebih banyak tuaian dan perolehan semakin bertambah baik di peringkat ladang.

 

Katanya, pengeluaran BTS pada separuh pertama 2025 menunjukkan penurunan kecil lapan peratus tahun ke tahun (YoY) meskipun jika dilihat perbandingan suku ke suku (QoQ) adalah meningkat 25 peratus.

 

"Situasi ini bukan disebabkan oleh masalah musim kemarau yang teruk namun Johor Plantations memberi petunjuk keadaan cuaca adalah naik dari Julai dan seterusnya," kata RHB Research dalam satu notanya.

 

Semalam, kumpulan perladangan itu melaporkan peningkatan untung bersih sebanyak 51 peratus kepada RM150.6 juta pada 1HFY25 dengan hasil turut bertambah kira-kira 12.6 peratus kepada RM738.7 juta.

 

Prestasi itu disokong harga jualan lebih tinggi bagi minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK), serta pembelian hasil luar membantu mengekalkan kadar pemprosesan dan mengukuhkan keuntungan.

 

Mengulas lanjut, RHB Research berkata, setakat Julai 2025, keluaran BTS Johor Plantations meningkat sedikit kepada enam peratus YoY, walaupun unjuran awal hanya tiga peratus untuk tahun kewangan 2025.

 

"Kumpulan ini optimis peningkatan lebih besar pada 2HFY25, dengan puncak pengeluaran pada September dan Oktober, tetapi menyasarkan pertumbuhan BTS lebih rendah untuk FY25F," kata firma berkenaan.

 

Ia turut kekal konservatif, dengan mengurangkan lagi anggaran pertumbuhan BTS kepada satu peratus untuk FY25 berbanding tiga peratus sebelum ini dan empat peratus lagi untuk FY26 hingga FY27.

 

RHB Research bagaimanapun menggemari Johor Plantations kerana kelayakan amalan alam sekitar, sosial dan urus tadbir (ESG) yang kukuh dan penilaian potensi jangka panjang adalah menarik untuk pelabur.

 

Berdasarkan perkembangan itu, firma berkenaan mengekalkan saranan 'beli' ke atas kumpulan ini dengan harga sasaran sesaham dinaikkan kepada RM1.50 daripada RM1.45 sebelumnya. - DagangNews.com