KUALA LUMPUR 8 Mei – Mudah Healthtech menyasarkan untuk memberi manfaat kepada satu juta rakyat Malaysia khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman menerusi pelancaran Kiosk Sihat Xpress sebagai platform akses kepada penjagaan kesihatan di negara ini.
Kiosk Sihat Xpress berfungsi sebagai platform kesihatan digital yang membolehkan pengguna menjalani pemeriksaan asas kesihatan serta mendapatkan akses awal kepada nasihat kesihatan tanpa perlu hadir ke klinik kesihatan secara fizikal.
Pengasas dan Pengarah Urusan Mudah Healthtech, Datuk Dr Kantha Rasalingam berkata pendekatan ini menumpukan kepada aspek pencegahan dengan keupayaan mengesan risiko kesihatan lebih awal sebelum ia menjadi lebih serius atau kronik.
"Syarikat komited untuk merapatkan jurang akses kesihatan di Malaysia Timur melalui penggunaan teknologi digital di kawasan luar bandar. Kiosk Sihat Xpress dibangunkan bagi memastikan lebih ramai rakyat di kawasan pedalaman dapat mengakses perkhidmatan kesihatan asas dengan lebih mudah.
"Ramai penduduk luar bandar berdepan kesukaran mendapatkan pemantauan kesihatan secara konsisten akibat faktor jarak dan kekangan logistik. Kiosk ini berfungsi sebagai platform pengesanan awal kesihatan yang mengumpul data secara masa nyata, sekali gus membantu individu mendapatkan rawatan lebih awal sebelum keadaan menjadi lebih serius.
"Projek ini turut disokong oleh MEASAT Global Bhd yang menyediakan sambungan satelit berkelajuan tinggi bagi memastikan kiosk dapat beroperasi di kawasan tanpa liputan internet stabil,” katanya dalam satu kenyataan.
Inisiatif tersebut dilancarkan secara rasmi di Sandakan Wellness Hub, Sabah, yang disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Sementara itu Dzulkefly berkata inisiatif tersebut selari dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang menekankan peralihan sistem kesihatan negara daripada rawatan penyakit kepada pencegahan dan kesejahteraan rakyat.
“Penggunaan teknologi digital dalam sektor kesihatan mampu memperluas akses perkhidmatan secara lebih inklusif, khususnya kepada komuniti luar bandar dan pedalaman yang sebelum ini berdepan kekangan akses,” katanya.
Setakat ini, lebih 1,000 penduduk di kawasan pedalaman Sabah termasuk Ranau dan Sook telah mendapat manfaat daripada pelaksanaan awal projek tersebut.
Mudah Healthtech komited untuk mempercepatkan peluasan rangkaian Kiosk Sihat Xpress ke seluruh negara sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh ekosistem kesihatan digital dan memastikan akses penjagaan kesihatan asas lebih inklusif. - DagangNews.com








