MTUC persoal tidak dipilih sertai forum buruh global di Switzerland | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MTUC persoal tidak dipilih sertai forum buruh global di Switzerland

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Jun — Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyelar Kementerian Sumber Manusia yang didakwanya sebagai memalukan imej negara pada Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC di Geneva, Switzerland dari 2 Jun sehingga 13 Jun 2025.


Pengerusi Jawatankuasa Bersama Khasnya, J Solomon berkata, ia susulan tindakan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) buat kali pertama gagal memasukkan MTUC sebagai wakil pekerja negara ini dalam kalangan delegasi rasmi Malaysia.


Tindakan tersebut kata beliau, amat memalukan kerana persidangan ke-113 anjuran Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) itu merupakan perjumpaan tahunan yang terbesar dengan melibatkan tiga pihak iaitu kerajaan, majikan dan pekerja.


Malaysia tambahnya, merupakan anggota ILO sejak 1957 dengan delegasi negara ini setiap tahun terdiri daripada Kesuma sebagai mewakili pihak kerajaan selain disertai wakil Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan MTUC sendiri.


"Tindakan Kesuma itu amat memalukan kerana tahun ini negara kita ialah Pengerusi ASEAN dan ia merupakan suatu perbuatan yang sama dengan dilakukan oleh negara mundur seperti Myanmar," kata Solomon dalam satu kenyataan.



Kementerian itu dakwanya, mendaftarkan 40 pegawai kerajaan dan lapan wakil majikan, namun tiada seorang pun wakil MTUC dalam ILC yang jelas merupakan pelanggaran Perlembagaan ILO kerana memerlukan perwakilan penuh tiga pihak.


MTUC tambah beliau, telah memfailkan aduan rasmi dengan Jawatankuasa Kelayakan ILO mengenai kegagalan pematuhan serius itu walaupun Kesuma menerima jemputan daripada sekretariat badan buruh global tersebut pada 25 Februari 2025.


"Kami berjaya mendapatkan pencalonan daripada empat ahli gabungan dan menyerahkan nama-nama tersebut kepada Kesuma pada 9 Mei 2025 tetapi pihak kementerian itu mengabaikan permintaan dimasukkan sebagai delegasi," katanya.


Disebabkan isu itu, MTUC kata Solomon, berusaha mendapatkan bantuan Konfederasi Kesatuan Perdagangan Antarabangsa (ITUC) bagi membenarkan wakilnya mengambil bahagian dan melaporkan satu aduan kepada Jawatankuasa Kelayakan.


Beliau turut mendakwa, pada tahun ini, imej Malaysia juga terjejas apabila disenaraikan sebagai antara 24 negara yang didapati telah melanggar Konvensyen 98 ILO (Hak untuk Penganjuran dan Tawar-Menawar Bersama).


Jawatankuasa Pematuhan Piawaian tambahnya, akan meneliti kes tersebut ketika ILC tetapi ketiadaan wakil pekerja rasmi dari Malaysia hanya memburukkan lagi keadaan dan melemahkan kredibiliti negara kita di platform antarabangsa.


"Perkara ini tidak pernah pun berlaku dalam sejarah Malaysia, apabila seorang menteri mengecualikan kehadiran wakil pekerja pada platform antarabangsa melibatkan penyertaan tiga pihak yang begitu penting," tegas beliau.


Solomon menambah, kehadiran 40 pegawai kerajaan, atas perbelanjaan para pembayar cukai, dengan tanpa perwakilan yang lengkap dan sah, bukan sahaja suatu pembaziran tetapi amat memalukan negara kita sendiri.


Pekerja-pekerja Malaysia juga membayar cukai serta berhak untuk diwakili dalam persidangan sebegini dan MTUC menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tindakan segera agar dapat diperbetulkan.


"Kami juga mendesak beliau agar mengarahkan Menteri Kabinet menghormati kewajipan-kewajipan antarabangsa, berhenti memalukan negara dan berhenti mengkhianati pekerja-pekerja Malaysia," kata beliau. - DagangNews.com