KUALA LUMPUR 21 April – Penampilan sulung MTT Shipping and Logistics Berhad (MTTSL) di Papan Utama Bursa Malaysia agak baik apabila sahamnya didagangkan pada RM1.08, lebih tinggi berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) RM1.03 yang ditetapkan.
Syarikat itu berjaya mengumpul RM652.5 juta melalui terbitan 633.5 juta saham baharu.
MTTSL disenaraikan di bawah sektor pengangkutan dan logistik dengan kod saham “5352”, dan merupakan IPO terbesar dalam sektor itu sejak 2013 dari segi permodalan pasaran dan saiz tawaran.
Daripada jumlah dana yang diperoleh, RM624.7 juta diperuntukkan bagi pembelian sekurang-kurangnya 12 kapal kontena baharu, manakala baki RM27.8 juta digunakan untuk menampung kos berkaitan penyenaraian.
Langkah ini bertujuan memperluas serta memperbaharui armada syarikat, yang dijangka meningkat sebanyak 46 peratus, sekali gus memperkukuh keupayaan operasi MTTSL dalam jangka panjang.
Menurut Pengerusi Eksekutif MTTSL, Datuk Seri Ong Kean Lee, peluasan armada tersebut akan meningkatkan kecekapan operasi serta daya tahan syarikat dalam memenuhi permintaan perdagangan serantau yang semakin berkembang.
Beliau berkata, strategi berasaskan aset yang diamalkan syarikat akan membolehkan MTTSL memperkukuh kedudukan dalam laluan perdagangan utama termasuk Malaysia Timur, selain memperluas rangkaian ke peringkat antarabangsa.
MTTSL ketika ini merupakan antara pengendali perkapalan kontena terkemuka negara dengan pegangan pasaran utama dalam perkhidmatan kargo domestik antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Brunei.
Syarikat turut mempunyai kehadiran serantau dengan rangkaian ke pelabuhan utama di Asia termasuk Singapura, China, India, Indonesia dan Thailand, selain mengendalikan beberapa depot kontena di Malaysia.
CIMB Investment Bank Berhad bertindak sebagai penasihat utama serta penyelaras global bersama dalam IPO ini, dengan sokongan CLSA Limited, CLSA Securities Malaysia Sdn Bhd serta Affin Hwang Investment Bank Berhad sebagai penyelaras dan penaja jamin bersama. - DagangNews.com








