KUALA LUMPUR 24 Okt – MST Golf Group Berhad menubuhkan anak syarikat baharu di Thailand, dikenali MST Golf (Thailand) Company Limited, sebagai sebahagian daripada strategi perluasan serantau.
Kumpulan rangkaian peruncitan sukan itu berkata, penubuhan subsidiari di negara jiran berkenaan dibuat melalui Perjanjian Pemegang Saham (SHA) yang dimeterai secara rasmi pada 23 Oktober 2025.
Tambahnya, ia melibatkan antara syarikat itu yang ditubuhkan pada 1989 serta berpangkalan di Subang Jaya, Selangor dengan dua pengarah dan pemegang saham utamanya, Ng Yap Sio dan Low Kok Poh.
"Transaksi ini diklasifikasikan sebagai urusan pihak berkaitan di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia," kata MST Golf dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.
MST Thailand jelasnya, ditubuhkan dengan modal berdaftar sebanyak 100 juta baht (kira-kira RM13.62 juta), terdiri daripada sejumlah sejuta saham biasa dengan nilai 100 baht (RM13.62) sesaham.
Berdasarkan SHA dimeterai itu, MST Golf memegang sebanyak 99.99% kepentingan dalam syarikat baharu tersebut, manakala Yap Sio dan Kok Poh masing-masing memiliki baki 1 saham yang diperuntukkan.
Setakat ini, 25 juta baht (RM3.22 juta) sudah dibayar sebagai modal berbayar awal, dengan baki 75 juta baht (RM9.67 juta) disuntik kemudian bagi memenuhi syarat had minimum Akta Perniagaan Asing Thailand.
"Anak syarikat baharu ini akan menjalankan perniagaan runcit peralatan golf, aksesori dan pakaian sukan, serta turut menyediakan perkhidmatan yang berkaitan dengan permainan itu," kata MST Golf.

Pembiayaan bagi penubuhan dan operasi MST Thailand akan menggunakan sebahagian daripada hasil dana penyenaraian awam permulaan (IPO) yang telah diperuntukkan untuk tujuan perluasan serantau.
Langkah ini sejajar dengan pelan pengembangan syarikat berkenaan untuk membuka enam buah cawangan runcit di Thailand, seperti digariskan dalam prospektus IPO yang diterbitkan pada 28 Jun 2023.
MST Golf tambahnya, turut melihat Thailand sebagai pasaran golf utama di Asia Tenggara, dengan asas memiliki ramai pelanggan domestik yang kukuh dan industri pelancongan golf semakin pesat.
“Langkah ini juga akan membuka peluang pertumbuhan ketara dan segera, selain meningkatkan prestasi kewangan kumpulan melalui perluasan portfolio perniagaan runcit di lokasi strategik,” katanya.
Syarikat tersebut menegaskan bahawa kehadiran langsung di negara berkenaan akan mengukuhkan lagi kedudukan MST Golf sebagai peniaga peruncit gaya hidup dan golf yang terkemuka di rantau ASEAN.
Transaksi SHA itu tidak akan memberi kesan material terhadap modal saham, pemegang saham utama, pendapatan sesaham atau nisbah hutang syarikat bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2025.
Syarikat berkenaan pada masa sama, turut menjelaskan yang tiada kelulusan daripada mana-mana pemegang saham atau pihak berkuasa diperlukan bagi proses pelaksanaan urus niaga tersebut.
"Lembaga Pengarah, kecuali pengarah yang berkepentingan, bersetuju transaksi tersebut adalah adil, munasabah dan demi kepentingan terbaik syarikat berkenaan serta pemegang saham minoriti," katanya.
MST Golf menjangkakan penubuhan MST Thailand diselesaikan sepenuhnya menjelang suku keempat 2025, sekali gus menandakan langkah penting dalam memperkukuh agenda pengantarabangsaan kumpulan.
Pada ketika ini, ia sudah memiliki rangkaian kedai dengan berjumlah 54 cawangan yang masing-masing meliputi sebanyak 41 di Malaysia, lapan di Singapura dan selebihnya lima lagi di Indonesia.
Dokumen SHA berkaitan boleh diperiksa di pejabat berdaftar syarikat berkenaan di Menara Symphony, Petaling Jaya, selama tiga bulan bermula dari tarikh pengumuman. - DagangNews.com








