MRCB tukar tanah Cyberjaya dengan anak syarikat MOF Inc | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MRCB tukar tanah Cyberjaya dengan anak syarikat MOF Inc

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Mac — Malaysian Resources Corp Berhad (MRCB) mencapai perjanjian pertukaran tanah dengan Cyberview Sdn Bhd, yang 92.24 peratus kepentingannya dimiliki Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).
 

Pemegang saham Cyberview yang lain selaku pemaju induk Cyberjaya, termasuk Sime Darby Property Berhad, dengan 5.17 peratus kepentingan, dan Permodalan Nasional Berhad, dengan 2.59 peratus kepentingan.
 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MRCB berkata, anak syarikat milik penuhnya, MRCB Land Sdn Bhd, menjual 70 peratus pegangannya dalam CSB Development Sdn Bhd (CSBD) kepada Cyberview dengan harga tunai RM219.04 juta.
 

Sebanyak 70 peratus kepentingannya dalam CSBD terdiri daripada sejumlah 700,000 saham dan 2.28 juta saham keutamaan boleh tebus.
 

CSBD memiliki sebanyak enam bidang tanah, lima daripadanya di Dengkil manakala baki satu lagi di Cyberjaya.
 

Sehingga akhir 2023, aset bersih CSBD berjumlah RM318.84 juta dengan syarikat tersebut mencatatkan kerugian bersih RM3.87 juta bagi tahun berkenaan.
 

Makluman MRCB kepada bursa mendedahkan bahawa nilai pasaran enam bidang tanah tersebut berjumlah RM365.5 juta.
 

"Pada masa yang sama, MRCB membeli pula tujuh bidang tanah di Cyberjaya dan Dengkil daripada Cyberview pada harga RM287.75 juta," katanya.
 

Kumpulan pembinaan dan pembangunan hartanah itu mengumumkan bahawa unit milik penuhnya, Subang Sentral Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian jual beli dengan anak syarikat Cyberview, Cyberjaya City Centre Land Sdn Bhd (CCCL).
 

Tujuh bidang tanah itu berkeluasan 36.6 ekar dalam pusat bandar Cyberjaya, iaitu zon pembangunan utama, kata MRCB dalam makluman tersebut.
 

Menurutnya, kos pelaburan CCCL dalam pembangunan itu berjumlah RM292.47 juta, dengan nilai pasaran masuk sebanyak RM288.26 juta.
 

MRCB berkata pengambilalihan itu akan membolehkan kumpulan itu dapat menyatukan pemilikan tanahnya di Cyberjaya, memudahkan strategi pembangunan yang lebih holistik dan bersepadu.
 

“Cadangan pelupusan itu akan membolehkan MRCB keluar daripada usaha sama sedia ada dengan Cyberview manakala cadangan pengambilalihan pula membolehkan MRCB memperoleh tanah lain di Cyberjaya dan merancang pembangunan yang lebih holistik untuk pembangunannya sendiri,” katanya. - DagangNews.com