MRCB sasar hasil kembali pulih mulai 2026, didorong banyak projek infrastruktur – MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MRCB sasar hasil kembali pulih mulai 2026, didorong banyak projek infrastruktur – MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 OktMalaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dijangka mencatat kembali pemulihan pendapatan secara ketara bermula tahun kewangan 2026 (FY26), menurut MBSB Research.


Firma penyelidikan tersebut menambah, perkembangan positif itu dipacu oleh kemajuan pelbagai projek utama infrastruktur dan hartanah yang memasuki fasa pengiktirafan pendapatan lebih tinggi.


Ia mengekalkan unjuran hasil dan harga sasaran pada 56 sen sesaham, bersandarkan nisbah harga kepada nilai buku (P/B) sebanyak 0.54 kali, iaitu satu sisihan piawai di atas purata sejarah tiga tahun.


Bagaimanapun kata MBSB Research, penarafan MRCB diturunkan daripada 'beli' kepada 'neutral', sejajar dengan lonjakan harga saham baru-baru ini serta unjuran pengurusan terhadap kelembapan 2025.


“FY25 akan menjadi tahun peralihan dengan sumbangan terhad daripada projek hartanah awal dan kerja-kerja awal infrastruktur," kata firma berkenaan dalam satu nota kajiannya hari ini.


Tempoh FY26 dan FY27 namun ujarnya, dijangka menyaksikan lonjakan semula melalui projek Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA), lima stesen LRT3 yang dikembalikan, serta peningkatan jualan hartanah.


MRCB kata MBSB Research, kini menumpu pelupusan tanah simpanan kurang strategik dan mempercepat pembangunan aset bernilai tinggi daripada jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) RM32.8 bilion.


Antara aset bukan teras dalam perbincangan jelasnya, termasuk pegangan 20% di Semarak, Ascott dan tanah berhampiran KL Sentral dengan jumlah stok hartanah sedia dijual mencecah RM1.80 bilion.


"Unit siap belum terjual bernilai RM362 juta, sebahagian besar unit Bumiputera menanti kelulusan pelepasan, manakala pendapatan hartanah diunjurkan tidak sekata peringkat awal projek," katanya.


"Hartanah luar negara seperti Vista dan Maris di Gold Coast, Australia dan Symphony Centre di Auckland, New Zealand kekal mengikut jadual, dengan kadar jualan positif," kata MBSB Research.


Tambah firma berkenaan, projek LRT3 sudah hampir 99% siap, sementara KSSA pula kini dalam fasa perobohan (75%) dengan kerja tanah dijangka hujung 2025 dan cerucuk awal pada suku pertama 2026.


MRCB juga melepasi sasaran penambahan kontrak FY25 sebanyak RM5.0 bilion dengan pencapaian RM5.6 bilion setakat ini, manakala tender aktif bernilai RM6.0 bilion termasuk projek LRT Pulau Pinang.


Kumpulan itu kata MBSB Research, semakin aktif dalam projek tenaga boleh diperbaharui, mitigasi banjir, infrastruktur air dan sisa-ke-tenaga (WtE) – menyediakan aliran hasil dan margin tinggi.


"Ia juga menjangka peranan besar dalam projek naik taraf grid di bawah Rangka Tindakan Peralihan Tenaga Nasional (NETR), khususnya berkaitan pemasangan kabel voltan tinggi bawah tanah," ujarnya.


Selepas dijangka mengambil alih Bukit Jalil Sentral menjelang 2QFY26, MRCB mula menilai strategi pembangunan berpaksikan pusat data (DC) berikutan lokasi strategik dan akses tenaga hingga 600MW.


MBSB Research menambah, kesan cukai karbon dan rasionalisasi subsidi petrol juga diberi perhatian dalam bidaan syarikat tersebut, dengan penyesuaian harga bahan binaan sudah diambil kira.


Tumpuan ujarnya, turut diberi terhadap potensi peruntukan yang lebih besar untuk projek mitigasi banjir berikutan potensi luas mampu mengukuhkan kelestarian pendapatan jangka sederhana syarikat.


“Tahun 2026 dan 2027 dijangka menandakan pecutan ketara dalam segmen pembinaan dan hartanah, meletakkan MRCB di landasan kukuh pusingan pertumbuhan baharu,” tambah firma itu. - DagangNews.com