MRCA mahu kerajaan tangguh peluasan SST ke atas perkhidmatan penyewaan, pajakan sektor runcit | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MRCA mahu kerajaan tangguh peluasan SST ke atas perkhidmatan penyewaan, pajakan sektor runcit

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 Jun — Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA) meminta Kementerian Kewangan (MoF) untuk menangguhkan pelaksanaan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas perkhidmatan penyewaan dan pajakan.


Ia berkata, dari perspektif peruncit sendiri, terutamanya mereka yang perlu mengendalikan cawangan fizikal, cukai berkenaan yang ditetapkan sebanyak lapan peratus mulai 1 Julai 2025 ini memberikan cabaran amat besar.


Antaranya isu sewa kerana ia membentuk komponen utama kos operasi peruncit, dan pengenaan cukai tambahan ke atas sewa itu sebenarnya membebankan lagi perniagaan yang sudah menghadapi peningkatan besar perbelanjaan.


"Ramai peruncit dibebankan dengan kenaikan gaji minimum, keperluan pendaftaran kontrak pekerja dan peningkatan kewajipan kawal selia, yang memberi tekanan lagi kepada margin keuntungan," kata MRCA dalam kenyataan.


Sementara itu, dalam konteks rantaian bekalan daripada pengilang dan pengedar kepada peruncit, peningkatan kos perniagaan dijangka diterjemahkan kepada harga jualan akhir yang lebih tinggi untuk para pengguna pula.


Peruncit di seluruh negara kata MRCA, kemungkinan besar mendapati mereka semakin sukar untuk cuba menyerap perbelanjaan tambahan itu, terutama dengan sentimen perbelanjaan pengguna yang lebih lemah kebelakangan ini. 


Perkembangan semasa kali ini tambah kenyataan persatuan itu, turut diburukkan lagi di tengah-tengah jangkaan penghapusan subsidi oleh kerajaan secara beransur-ansur pada separuh kedua tahun ini meliputi petrol RON95.


"Justeru, kami menggesa kerajaan supaya menangguhkan buat sementara waktu pelaksanaan SST tersebut ke atas perkhidmatan penyewaan dan pajakan walaupun kami mengakui hasrat MoF meluaskan asas cukai negara," katanya.


Bagaimanapun MRCA tambahnya, memberi jaminan akan terus kekal komited untuk menyokong ahli-ahli di seluruh Malaysia untuk mereka dapat bersedia dalam mengharungi segala aspek perubahan sistem percukaian awam.


Selain itu, ia juga akan terus melibatkan diri dengan kerajaan dan agensi berkaitan untuk memastikan pelaksanaan dasar kekal seimbang, telus dan kondusif untuk pertumbuhan mampan sektor runcit. - DagangNews.com