MRA desak batalkan SST ke atas penyewaan komersial, perkhidmatan pajakan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MRA desak batalkan SST ke atas penyewaan komersial, perkhidmatan pajakan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 16 Jun — Persatuan Peruncit Malaysia (MRA) mendesak Kementerian Kewangan membatalkan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 8 peratus ke atas penyewaan komersial dan perkhidmatan pajakan.


Presidennya, Datuk Andrew Lim Tatt Keong berkata, peluasan levi itu dikhuatiri boleh menjejaskan tahap kemampanan perniagaan dan akhirnya meningkatkan harga runcit pengguna setelah peruncit sudah bergelut dengan tekanan kos.


Ini katanya, termasuk kenaikan gaji minimum kepada RM1,700, pelarasan tarif elektrik, duti setem ke atas kontrak pekerjaan, rasionalisasi subsidi bahan api, dan peningkatan kadar SST berbanding hanya enam peratus sebelum ini.


"Beberapa contoh peningkatan kos operasi tetap sudah kami tanggung, malahan senarai yang ada ini sahaja sudah memberi kesan besar kepada kemampanan dan keuntungan perniagaan," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.


Selain itu Andrew menambah, sektor peruncitan tidak pernah dirujuk kerajaan sebelum keputusan untuk mengenakan SST ke atas penyewaan komersial, padahal ia adalah antara kos tetap paling besar bagi kebanyakan perniagaan.

Beliau juga menunjukkan faktor ketidaktentuan global yang semakin meningkat, terutama konflik  antara Iran dan Israel baru-baru ini, sebagai antara alasan MRA untuk kerajaan mempertimbangkan semula masa pelaksanaan cukai itu.


"Tidak realistik perniagaan runcit menyerap impak sepenuhnya, dan ramai mungkin tiada pilihan kecuali membebankan kos kepada pengguna, tetapi ini menyumbang kepada inflasi dan meningkatkan kos sara hidup rakyat," katanya.


Sebagai pilihan tambah Andrew, MRA mencadangkan beberapa langkah antaranya pembatalan penuh SST ke atas penyewaan komersial atau, sekurang-kurangnya, diberikan penangguhan sehingga keadaan adalah lebih stabil.


Persatuan tersebut juga menggesa kerajaan agar pelaksanaan cukai berkenaan wajar dikongsi dengan lebih adil antara pemilik premis dan penyewa, bukannya ditanggung secara sepenuhnya oleh peruncit sahaja.


"Kami juga mahu supaya caj perkhidmatan dan yuran kawasan kongsi dikecualikan daripada skop cukai serta ambang pengecualian SST dinaikkan kepada RM2 juta dalam jualan tahunan untuk melindungi peruncit kecil," katanya.


Andrew turut mencadangkan penangguhan selepas Tahun Melawat Malaysia 2026 dan dilaksanakan beransur-ansur, bermula daripada kira-kira tiga peratus sebelum meningkat progresif kepada lapan peratus dalam tempoh lima tahun.


Sektor peruncitan katanya, memainkan peranan penting memacu pertumbuhan ekonomi domestik dan pekerjaan, serta menekankan dasar yang mempengaruhi sektor itu mesti dibuat dengan ketelusan melibatkan pihak berkepentingan.

Beliau sehubungan itu menambah, MRA terbuka untuk perbincangan lanjut dengan Kementerian Kewangan bagi mencari pendekatan seimbang dan mampan serta menyokong perniagaan dan pengguna. - DagangNews.com