KUALA LUMPUR 12 Nov – MR DIY Group (M) Berhad kekal optimis terhadap prospek anak syarikat yang dimilikinya 49%, KKV Supply Chain Sdn Bhd, setelah entiti itu belum lagi mencatatkan keuntungan.
Menurut CIMB Securities, susidiari tersebut masih mencatatkan kerugian pada suku ketiga tahun kewangan 2025 (3QFY25) disebabkan kos besar permulaan operasi sejak diperoleh MR DIY pada Mei 2024.
Bagaimanapun, firma penyelidikan berkenaan menjangkakan prestasi KKV akan bertambah baik apabila skala operasi syarikat perniagaan runcit itu mula meningkat dan tahap kecekapan kos bertambah.
"Kami percaya keuntungan akan bertambah kukuh apabila ekonomi berskala dicapai, dengan kos tetap dapat diserap dan kesedaran jenama tersebut meningkat,” jelasnya dalam laporan kajiannya hari ini.
KKV ketika ini mengendalikan 19 cawangan dan berhasrat menambah kepada sejumlah 25 lagi menjelang akhir FY25, selaras dengan strategi pertumbuhan MR DIY dalam segmen gaya hidup dan barangan trend.
Bagi peringkat kumpulan induk, MR DIY menetapkan sasaran membuka sebanyak 185 cawangan baharu pada FY25 selepas melaksanakan penutupan 19 cawangan setakat sembilan bulan pertama tahun ini.
Situasi itu kata CIMB Securities, menjadikan penambahan bersih iaitu 166 cawangan lagi dan bakal meningkatkan bilangan keseluruhan kepada kira-kira 1,605 kedai menjelang hujung tahun kewangan 2025.
"Penutupan tersebut membabitkan cawangan yang kurang berprestasi dan dijangka hanya memberi impak minimum terhadap hasil, namun menambah kecekapan operasi keseluruhan kumpulan," kata firma itu.
Untuk FY26, MR DIY merancang membuka sehingga 155 cawangan baharu, sedikit rendah berbanding unjuran awal firma itu sebanyak 190, dengan tumpuan kepada format lebih besar 'MR DIY Plus'.
Model kedai berkenaan jelas CIMB Securities, menggabungkan pelbagai jenama di bawah satu bumbung. dan strategi ini dijangka meningkatkan daya tarikan pelanggan, produktiviti dan hasil cawangan.
Dari segi keuntungan, MR DIY mencatatkan peningkatan 10.7% dalam keuntungan bersih teras 3QFY25, disokong oleh faktor pengembangan margin keuntungan kasar sebanyak 1.9 mata peratus kepada 47.3%.
"Lonjakan ini dipacu oleh jualan produk jenama sendiri yang lebih tinggi, skala pembelian global semakin kukuh, serta pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar AS dan yuan China," katanya lagi.
CIMB Securities menjangka margin kekal stabil memandangkan MR DIY memiliki stok cukupi untuk lima hingga enam bulan yang dibeli pada harga yang menguntungkan dalam tempoh jangka panjang.
Firma penyelidikan itu menambah bahawa rangkaian global kumpulan itu melebihi 5,000 cawangan yang membolehkan ia memperoleh terma pembekal lebih baik dan tahap kecekapan skala semakin besar.
Peralihan berterusan MR DIY ke arah produk jenama sendiri dijangka menjadi pemacu utama ketahanan keuntungan kumpulan,” jelasnya sambil mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham syarikat berkenaan.
"Kami juga tidak mengubah harga sasaran RM2.10, mencerminkan keyakinan strategi pengembangan dan keupayaan kumpulan mengekalkan pertumbuhan walapun cabaran ekonomi semasa," katanya. - DagangNews.com








