KUALA LUMPUR 15 Okt – MR DIY Holding (Thailand) PCL bakal disenaraikan di Bursa Saham Thailand menerusi penerbitan tawaran awam permulaan (IPO) yang dijangka meraih sehingga RM733 juta.
Menurut prospektusnya, syarikat peruncitan barangan kelengkapan rumah itu bakal menyalurkan RM470 juta kepada syarikat itu untuk pembukaan cawangan baharu, modal kerja dan bayaran balik pinjaman.
"Sementara itu, baki selebihnya yang sebanyak RM263 juta daripada jumlah dana IPO tersebut akan diperoleh oleh pemegang saham sedia ada, MDIH Singapore Pte Ltd," kata syarikat berkenaan.
Apa yang menariknya, MR DIY Thailand bukan pun anak syarikat atau syarikat bersekutu kepada MR DIY Group (M) Bhd yang sudah tersenarai di Pasaran ACE, Bursa Malaysia sejak 26 Oktober 2020.
Bagaimanapun, kedua-duanya berkongsi pemegang saham utama sama, iaitu dua adik-beradik usahawan tempatan, Tan Yu Yeh dan Tan Yu Wei, yang kini berada di kedudukan ke-12 terkaya di Malaysia.
Mereka dilaporkan memiliki nilai kekayaan sekitar AS$2.15 bilion (RM9.09 bilion) menurut Forbes dengan syarikat di Thailand itu mengendalikan lebih 1,000 cawangan di seluruh negara berkenaan.
Dokumen IPO itu berkata, MR DIY Holding (Thailand) PCL kini giat mengembangkan operasinya, dengan sasaran untuk membuka 200 cawangan baharu pada tahun ini dan tambahan 210 lagi menjelang 2026.
"Tawaran saham kepada umum tersebut bakal melibatkan sehingga 10.89% pegangan dalam syarikat dengan harga tawaran antara 8.30 baht (RM1.08) hingga 8.60 baht (RM1.12) sesaham," katanya lagi.
Tempoh langganan IPO tersebut dijadualkan selama tiga hari sahaja bermula pada 27 Oktober 2025. Ini merupakan kali kedua kumpulan Tan membawa perniagaan luar negara mereka ke pasaran modal.
Pada 2024, mereka berjaya melaksanakan penyenaraian syarikat Indonesia, PT Daya Intiguna Yasa Tbk, yang juga bukan merupakan sebahagian daripada entiti tersenarai MR DIY di Malaysia.
Jenama MR DIY yang diasaskan pada 2005 sebagai kedai perkakasan kecil di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, ketika ini memiliki lebih 5,000 cawangan di Asia, Eropah dan Afrika.
Perkembangan tersebut menjadikan rangkaian kedai berkenaan antara peruncit barangan keperluan rumah paling pesat berkembang di rantau Asia Tenggara. - DagangNews.com








