TAIPING 28 Feb - Peta pelancongan baharu Taiping yang dilengkapi dengan kod QR telah dilancarkan memaparkan destinasi menarik kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.
Ini sejajar dengan usaha menjadikan Taiping sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir, peta ini telah dicetak menggunakan dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
“Peta ini direka untuk memudahkan pengunjung meneroka lokasi-lokasi pelancongan dan sejarah, serta tempat makan dan penginapan terbaik di Taiping.

‘Fun Map Fascinating Taiping’ bukan sekadar peta biasa, tetapi ia turut dilengkapi dengan kod QR yang membolehkan pengguna mengakses dan mendapatkan maklumat tambahan secara digital,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Dengan keunikan sejarah dan keindahan alam semula jadi yang dimiliki Taiping, peta ini akan menjadi medium promosi menarik lebih ramai pelancong dan meningkatkan ekonomi setempat.
Jelas Khairul Amir lagi, penerbitan peta pelancongan ini diharapkan dapat memperkasakan industri pelancongan Taiping serta menjadikannya lebih mudah diakses oleh pelancong dari pelbagai lapisan masyarakat.
‘Fun Map Fascinating Taiping’ boleh didapati di Galeri Perbandaran Taiping Jalan Stesen (Pusat Informasi Pelancongan Taiping) atau boleh di muat turun secara dalam talian.

Dalam pada itu katanya, MPT akan mengadakan pertandingan mencipta logo dan slogan bersempena sambutan Ulang Tahun ke-65 Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) pada tahun 2026.
Pertandingan ini bertujuan menghasilkan logo dan slogan yang menggambarkan sejarah penubuhan, kepelbagaian biodiversiti dan peranan ZTNS sebagai zoo tertua di Malaysia.
“Pertandingan bermula 7 Mac hingga 7 April 2025 yang menawarkan hadiah wang tunai RM2,000 kepada pemenang manakala lima hadiah saguhati RM100 setiap satu.

“Maklumat lanjut serta syarat penyertaan akan diumumkan melalui platform rasmi MPT dan ZTNS.
“Pihak MPT mengalu-alukan penyertaan kreatif masyarakat dalam menyemarakkan sambutan ulang tahun ke-65 ZTNS dan Tahun Melawat Malaysia 2026 sebagai simbol warisan dan khazanah biodiversiti negara,” ujarnya. - DagangNews.com







