KUALA LUMPUR 25 Sept – Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) mempersoalkan keberkesanan Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) walaupun penguatkuasaan ditangguhkan selama 12 bulan.
Menurutnya, peraturan diwujudkan oleh Kesatuan Eropah (EU) tersebut masih belum mempunyai hala tuju pelaksanaan yang jelas serta mengandungi banyak kelemahan ketara dari segi operasi dan struktur.
Keadaan berkenaan tambah MPOC, sekali gus memberi kesan teruk kepada syarikat-syarikat perladangan yang banyak melakukan pelaburan besar untuk mematuhi garis masa asal ditetapkan blok tersebut.
“Dengan ketidaktentuan hala tuju peraturan ini, beban kini dipikul pula oleh syarikat-syarikat yang sudah bertindak bertanggungjawab lebih awal,” jelas organisasi berkenaan dalam satu kenyataan hari ini.
MPOC tambahnya, turut membidas sistem penarafan risiko EUDR yang dikatakan tidak mencerminkan prestasi alam sekitar sebenar apabila Malaysia diklasifikasikan sebagai negara 'risiko sederhana'.
Katanya, perkara berkenaan mencetuskan keraguan memandangkan negara ini mencatat pencapaian yang didapati lebih baik berbanding beberapa negara EU sendiri diberikan status 'risiko rendah'.
Antara bukti dikemukakan MPOC termasuk pengurangan kehilangan hutan primer sebanyak 57% antara 2015 hingga 2017 dan 2020 hingga 2022 serta 13% pada 2024, menurut data Global Forest Watch.
“Jika EU tidak memahami realiti di lapangan, kami mempersoalkan sama ada peraturan ini boleh dilaksanakan secara praktikal,” tegas Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, Belvinder Kaur Sron.
Tambahan pula, Malaysia melaksanakan inisiatif pematuhan ketat terhadap piawaian MSPO 2022 yang melarang keras sebarang penukaran hutan semula jadi dan zon perlindungan selepas Disember 2019.
Sistem akreditasi mandatori bertaraf kebangsaan itu dikendalikan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan diselia oleh Majlis Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPOC) sejak 2020.
Sehubungan itu kata Belvinder, MPOC menggesa para penggubal dasar EU untuk menggunakan tempoh penangguhan selama setahun ini bagi menyemak semula struktur EUDR, agar dilihat lebih adil.
"Ia perlu berpaksikan prestasi alam sekitar sebenar, bukan semata-mata faktor geografi dengan pengiktirafan terhadap negara yang mempamerkan kemajuan dalam aspek pemuliharaan hutan," katanya.
MPOC menegaskan komitmen berterusan terhadap pengeluaran minyak sawit mampan dan akan meneruskan dialog konstruktif dengan pihak EU bagi menyelesaikan segera isu berbangkit secara berhemah.
EUDR yang berkuat kuasa secara rasmi pada 2023, melibatkan tujuh komoditi utama termasuk ternakan komersial seperti lembu, di samping tanaman koko, kopi, kelapa sawit, getah, soya dan kayu.
Malaysia dan beberapa negara lain masih mempertikaikan klasifikasi yang berdasarkan data lama sebelum 2020 dengan semakan semula dijangka pada 2026. - DagangNews.com








