KUALA LUMPUR 12 Mei – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah mengkomersialkan lebih 200 teknologi melibatkan pelbagai inovasi dalam sektor sawit dan agri-komoditi negara setakat ini yang menyumbang kepada kelestarian serta kemajuan industri berkenaan.
Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, teknologi yang dibangunkan merangkumi pelbagai bidang termasuk mekanisasi dan automasi ladang, bioteknologi dan genomik kelapa sawit, perlindungan tanaman berasaskan sains, teknologi pemprosesan dan pembuatan, produk nilai tambah serta oleokimia, selain sistem digital dan platform pengurusan ladang.
Menurut beliau, antara inovasi terbaharu yang dibangunkan ialah teknologi bagi mengesan tahap kematangan buah sawit yang diperkenalkan kira-kira dua tahun lalu dengan menggunakan dron dan analisis DNA bagi menilai keadaan pokok serta faktor berkaitan.
“Penggunaan teknologi tersebut membolehkan penilaian tanaman dilakukan dengan lebih tepat dan efisien untuk membantu meningkatkan hasil pengeluaran industri sawit negara.
“Kebanyakan teknologi yang dibangunkan MPOB kini telah digunakan secara meluas oleh pemain industri, menunjukkan tahap penerimaan yang baik terhadap inovasi yang diperkenalkan.
“Teknologi yang kami bangunkan telah banyak digunakan oleh industri. Justeru, kami membuka peluang kepada syarikat dan pemain industri untuk menilai serta mengguna pakai teknologi ini bagi meningkatkan produktiviti,” katanya .
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Konvensyen Kebangsaan Kejuruteraan Pertanian dan Makanan MPOB (NAFEC) 2026 yang disempurnakan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Huang Tiong Sii di Seremban hari ini.
Konvensyen anjuran Persatuan Jurutera Pertanian dan Makanan Malaysia (MSAE) dengan kerjasama MPOB itu menghimpunkan lebih 200 peserta terdiri daripada penyelidik, jurutera, ahli akademik, pemain industri dan syarikat teknologi.
Konvensyen bertemakan Revolusi Operasi Ladang: Automasi, Pendigitalan, AI dan Teknologi Masa Depan itu memfokuskan tentang peranan teknologi terbaharu yang akan memperkukuh operasi ladang dan industri sawit negara.

Dalam pada itu, MPOB turut memperkenalkan sembilan teknologi baharu tahun ini melalui program pemindahan teknologi sawit, yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada sektor perladangan, tetapi juga pembangunan produk makanan dan aplikasi industri berasaskan sawit.
Antara teknologi baharu yang diperkenalkan termasuk mayonis berasaskan minyak sawit yang sesuai untuk golongan vegetarian kerana tidak mengandungi telur atau bahan haiwan.
Selain itu, MPOB turut membangunkan teknologi makanan berasaskan minyak sawit merah serta teknologi oleokimia seperti minyak pelincir yang boleh digunakan untuk pusat data.
Ahmad Parveez berkata, penyelidikan MPOB kini turut diperkukuh dengan fokus kepada pembangunan teknologi berasaskan data termasuk penggunaan Internet Pelbagai Benda (IoT), dron dan kecerdasan buatan (AI).
Menurut beliau, penggunaan teknologi tersebut bukan sahaja meningkatkan produktiviti, malah membantu memastikan kualiti pengeluaran lebih konsisten, mengoptimumkan penggunaan input serta memperkukuh ketelusan rantaian bekalan.
“Usaha ini selari dengan matlamat MPOB untuk menjadikan industri sawit Malaysia lebih moden, berdaya saing dan berasaskan teknologi tinggi dalam menghadapi cabaran global pada masa depan,” katanya.
Dalam majlis sama, turut menyaksikan pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) R&D antara MPOB dengan syarikat industri bagi pembangunan teknologi seperti pemotong rumput kawalan jauh dan jentera penuaian sawit kompak.
Presiden MSAE, Rosnah Shamsudin pula berkata NAFEC 2026 MPOB berperanan sebagai platform penting bagi memperkukuh jaringan profesional, pertukaran ilmu dan pembangunan inovasi dalam bidang kejuruteraan pertanian dan makanan.
Konvensyen selama dua hari itu turut merangkumi sesi teknikal, pembentangan kertas kerja, forum industri serta pameran teknologi melibatkan bidang mekanisasi, automasi, IR4.0, pengurusan sumber semula jadi dan teknologi mampan. - DagangNews.com








