KUALA LUMPUR 19 Dis — TA Securities terus mengekalkan saranan 'jual' ke atas Top Glove Corporation Berhad, dengan harga sasaran (TP) sesaham kumpulan tersebut yang masih tidak berubah iaitu 62 sen.
Tindakan firma itu agak unik meskipun prestasi operasi syarikat berkenaan menunjukkan momentum yang berterusan didorong oleh peningkatan volum jualan, khususnya dari pasaran di Amerika Utara.
Pengeluar sarung tangan getah tersebut turut mencatat keuntungan bersih pada 1QFY26 sebanyak RM38.6 juta, bersamaan 29% daripada unjuran penuh tahun firma tersebit dan 25% anggaran konsensus.
"Jualan di Eropah Barat dan Timur namun masing-masing susut 38% dan 41% tahun ke tahun (YoY), ekoran lambakan agresif oleh pengeluar China di pasaran bukan Amerika Syarikat (AS)," kata TA Securities.
Justeru tindakan firma penyelidikan itu menyarankan penjualan saham Top Glove dinilai berikutan cabaran lebihan bekalan industri yang dijangka berlarutan dan tekanan harga jualan purata (ASP).
Kelazimannya, saranan sedemikian bukan bermaksud prospek sesuatu syarikat sebagai lemah, namun pulangan pelaburan saham diramal tidak menarik berbanding risiko dan alternatif lain di pasaran.
TA Securities merujuk penghantaran produk kumpulan itu ke pasaran Amerika Utara melonjak 117% (YoY) dan kini menyumbang 33% daripada jumlah volum, berbanding 18% pada tempoh 1QFY25.
"Perkembangan positif itu didorong isu kenaikan tarif import AS ke atas sarung tangan dari China, tetapi kenaikan volum berjaya mengimbangi penurunan 11% ASP akibat lebihan bekalan," jelasnya.
Tambahnya, kos bahan mentah yang lebih rendah turut membantu Top Glove, dan hasilnya, margin untung kasar naik 2.9 mata peratusan kepada 5.1%, disokong oleh kecekapan operasi yang lebih baik.
Secara suku ke suku (QoQ), hasil menurun sedikit 1% kepada RM883.6 juta, dipengaruhi pengukuhan nilai ringgit dan penurunan ASP sekitar 4%, sejajar dengan penurunan harga bahan mentah.
Bagaimanapun kata TA Securities, volum jualan kekal 4% QoQ, dipacu permintaan dari Asia (+20%) dan Amerika Latin (+38%), manakala penggunaan loji bertambah kepada 73% daripada 71% pada 4QFY25.
"Kami menaikkan unjuran pendapatan FY26, FY27 dan FY28 kepada masing-masing RM166.3 juta, RM183.1 juta dan RM197.9 juta, susulan kiraan pendapatan FY25 diaudit dan kadar cukai rendah," katanya.
Bagi prospek terdekat, volum sarung tangan dijangka terus meningkat disokong aktiviti pengisian semula stok dan tender baharu di pasaran Eropah, dengan penggunaan kapasiti semasa sekitar 75%.
Top Glove juga kata TA Securties, merancang untuk mengaktifkan semula empat kilang dengan kapasiti enam bilion keping bagi menampung pertumbuhan tempahan sepanjang FY26 yang diramal lebih positif.
Walaupun prospek operasi bertambah baik, ia berpandangan situasi lebihan bekalan industri dijangka berterusan sekurang-kurangnya dua tahun lagi, dan mengekang pemulihan margin. - DagangNews.com








