KUALA LUMPUR 4 Dis — Sektor pembinaan dijangka terus mencatat momentum positif, dengan nilai kerja siap pada 3Q25 mencecah RM45.4 bilion, meningkat 11% tahun ke tahun (YoY), menurut RHB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, ia merupakan rekod baharu yang berjaya dicatatkan, serta menunjukkan banyak kontraktor masih lagi didapati sibuk dengan pelbagai projek sedia ada dan akan datang.
Berdasarkan perkembangan positif itu, ia menyenaraikan Gamuda Berhad, Sunway Construction Group Berhad dan Kerjaya Prospek Group Berhad sebagai saham syarikat pembinaan pilihan untuk pelabur.
"Daripada 10 syarikat di bawah liputan kami, hanya Sunway Construction dan Kerjaya Prospek yang melepasi jangkaan, manakala satu menepati ramalan dan baki lain ketinggalan," kata RHB Research.
Selain itu, ia menilai langkah Tenaga Nasional Berhad (TNB) menandatangani 11 perjanjian bekalan elektrik untuk lapan projek pusat data (DC) dengan jumlah kapasiti permintaannya adalah 1.1GW.
Bilangan tersebut jelas firma berkenaan, setara dengan bekalan sebanyak 768MW yang berpotensi memberi nilai kerja mencecah RM15.7 bilion sekiranya anggaran purata RM20 juta bagi setiap MW.
Infrastruktur air di Johor pula kata RHB Research, cukup untuk menyokong 3.4GW hingga 2030, dengan kapasiti 1,100 juta liter sehari (MLD) dari projek Semanggar, Layang 2 Fasa 2 dan tiga loji lain.
"Kami turut optimis potensi projek LRT Fasa 2 bernilai RM5 bilion dijangka diumumkan pada 2H26, di samping e-ART di Johor dianggar RM7 bilion yang kini di peringkat penilaian cadangan," jelasnya.
Indeks Pembinaan Bursa Malaysia (BMCI) tambahnya, ketika ini didagangkan 17 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) selari dengan kitaran naik 2017, menunjukkan potensi kenaikan tambahan.
Bagaimanapun RHB Research memberi amaran risiko utama sektor pembinaan ialah kemajuan projek yang perlahan secara tidak dijangka dalam pelaksanaan kontrak tertentu dan kekurangan tenaga kerja.
Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan penarafan 'overweight' untuk sektor ini berikutan prospek kukuh projek DC dan aliran projek mega jangka sederhana yang tersusun. - DagangNews.com








