KUALA LUMPUR 11 Ogos — Kerjaya Prospek Group Berhad diramal merekodkan pendapatan antara RM44 juta sehingga RM48 juta pada tempoh suku kedua tahun kewangan 2025, menurut TA Securities.
Firma penyelidikan tersebut berkata, unjuran positif berkenaan akan menjadikan hasil diperoleh kumpulan pembinaan itu pada separuh pertama 2025 mungkin boleh mencecah RM88.2 juta dan RM92.2 juta.
Tambahnya, keputusan kewangan 2QFY25 yang akan diumumkan pada 25 Ogos 2025 ini sekiranya disahkan akan mewakili kira-kira 47.8 peratus sehingga separuh daripada anggaran pendapatan tahun ini.
"Ini menunjukkan pertumbuhan baik tahun ke tahun (YoY) kira-kira 17.6% sehingga 22.9%, sebahagian besarnya disokong momentum kukuh penambahan projek," kata TA Securities dalam nota kajiannya.
Selain itu, firma tersebut menjangkakan pembayaran dividen interim kedua sebanyak 3.0 sen sesaham akan diumumkan pada suku tersebut, menjadikan jumlah pembayaran untuk 1HFY25 kepada 6.0 sen.
Keadaan berkenaan katanya, dijana perolehan RM1.6 bilion dalam kontrak baharu sepanjang FY24, dengan buku tempahan yang belum dibilkan kini berjumlah hampir RM4.0 bilion pada akhir Mac 2025.
TA Securities juga tambahnya, kekal yakin dengan potensi bahagian hartanah Kerjaya Prospek, disokong oleh perbankan tanah strategiknya baru-baru ini dengan projek di Puchong, Selangor.
"Bagaimanapun kami tidak menjangkakan sebarang sumbangan pendapatan bermakna daripada projek berkenaan sebelum FY27 dengan keterlihatan hasil akan kekal oleh segmen pembinaan," katanya.
Operasi bahagian tersebut kata firma berkenaan, bergerak dengan lancar manakala pihak pengurusan kumpulan berkenaan telah memerhatikan sentimen berhati-hati dalam landskap hartanah domestik.
Ia susulan beberapa pemaju mengambil sikap tunggu dan lihat berikutan ketidaktentuan dasar perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta kemungkinan ada semakan kepada tarif utiliti.
Apa yang penting kata TA Securities, perbincangan mengenai cukai itu terutamanya berkaitan dengan perkhidmatan pembinaan, masih lagi berterusan antara pihak berkepentingan dan penggubal dasar.
"Justeru, kesan penuh masih tidak pasti setakat ini dengan kami mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran tidak berubah kepada RM2.97 sesaham," katanya. - DagangNews.com








