Momentum Kerjaya Prospek diyakini kukuh didorong tambahan 7,000 pekerja baharu - Rakuten | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Momentum Kerjaya Prospek diyakini kukuh didorong tambahan 7,000 pekerja baharu - Rakuten

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 Dis - Kerjaya Prospek Group Berhad terus menunjukkan prestasi operasi mantap susulan kos bahan mentah yang stabil dan masalah kekangan tenaga kerja semakin berkurangan.


Menurut Rakuten Trade, masalah kritikal kekurangan pekerja yang selama ini menjejaskan pertumbuhan kumpulan pembinaan itu akhirnya selesai apabila bilangannya ditambah kepada 7,000 orang baharu. 


Firma penyelidikan itu berkata, perkembangan tersebut memperkukuh kapasiti operasi dan pelaksanaan syarikat lebih berkesan, selari dengan momentum sektor pembinaan Malaysia yang kembali rancak.


"Selain itu pertumbuhan Kerjaya Prospek dipacu pelancaran hartanah swasta yang kukuh, pelaburan industri dan semikonduktor serta projek infrastruktur kerajaan secara berterusan," katanya.


Keupayaan syarikat tersebut dalam projek bangunan bertingkat tinggi, pesisir dan pembinaan laut, serta projek sektor swasta premium turut menempatkannya dalam segmen dengan permintaan kukuh.


Tambah Rakuten, margin kumpulan itu juga lebih sihat, didorong struktur kos yang berhati-hati dan imbangan kewangan secara mantap meningkatkan daya tahan syarikat terhadap turun naik sektor.


Setakat 30 November 2025, Kerjaya Prospek meraih kontrak baharu berjumlah RM1.5 bilion, menjadikan buku tempahan terkini sebanyak RM4.1 bilion, iaitu antara terbesar dalam kalangan pemaju swasta.


"Dengan kemajuan pembinaan, ketersediaan tenaga kerja yang meningkat dan kos input stabil, kami menjangka untung bersih sebanyak RM218.5 juta pada FY25 dan RM241.4 juta pada FY26," katanya.


Ia mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran RM3.06, yang berasaskan unjuran 16 kali perolehan sesaham FY26, serta menekankan kumpulan itu menerima sokongan termasuk teknik pembinaan inovatif.


Di samping itu jelas Rakuten, ini dibantu kawalan kos konsisten, pasukan pengurusan berpengalaman dengan rekod pelaksanaan mantap, serta keupayaan syarikat mengekalkan aliran kontrak baharu.


Buku tempahan semasa memberi jangkaan pendapatan jangka pendek yang jelas, manakala kedudukan tunai bersih dan dividen menarik memperkukuh daya tarikan kepada pelabur yang mencari pertumbuhan.


"Kerjaya Prospek turut memperkukuh kedudukan strategik dengan memegang sejumlah 36 hektar tanah di banyak lokasi bagi menyokong projek pembangunan dalaman dan mempelbagaikan hasil," tambahnya.


Pegangan 49% dalam Aspen Vision Land menawarkan manfaat berganda melalui kontrak pembinaan yang konsisten dan penyertaan jangka panjang projek Aspen Vision City di Batu Kawan, Pulau Pinang.


Pembentukan Rivanis Ventures juga membuka peluang pembangunan perumahan mampu milik dan urban berskala besar, yang dijangka mendapat permintaan berterusan di bawah inisiatif kerajaan.


Rakuten merumuskan, kombinasi buku tempahan kukuh, kedudukan tunai mantap, margin sihat dan projek strategik berpotensi memastikan momentum Kerjaya Prospek kekal teguh. - DagangNews.com