KUALA LUMPUR 13 Jun — Momentum hasil untuk sektor penjagaan kesihatan swasta, suplemen kesihatan dan penyedia farmaseutikal diramal berterusan meningkat sehingga tempoh separuh kedua pada tahun ini (2HFY25), menurut Kenanga Research.
Firma itu berkata, ia berikutan prospek permintaan perkhidmatan dan barangan tersebut bertambah baik selain pengendali penjagaan kesihatan swasta adalah kurang terjejas daripada pelaksanaan peluasan cukai jualan yang diumumkan baru-baru ini.
Ia memberi contoh operasi IHH Healthcare Berhad di Malaysia dan KPJ Healthcare Berhad yang memiliki hasil pelancongan perubatan boleh diuruskan masing-masing sebanyak 5% hingga 7% untuk membantu dalam usaha mengimbangi kesan cukai itu.
"Kami masih memberi penarafan 'overweight' ke atas sektor ini kerana secara umum, operator penjagaan kesihatan swasta mencatat keputusan yang bercampur-campur pada suku pertama tahun ini (1QFY25)," kata Kenanga dalam nota kajiannya.
Ia menambah, kadar keamatan hasil IHH Healthcare diramal terus bertambah baik, didorong oleh faktor prospek peningkatan pesakit yang berpotensi lebih tinggi, dengan melibatkan kedua-dua daripada pasaran domestik dan antarabangsanya.
Sementara itu kata firma tersebut, KPJ Healthcare pula didapati memberi unjuran untuk kerugian lebih kecil di rangkaian hospitalnya yang sedang mengalami pengembangan perkhidmatan, walaupun kuantum penambahbaikan kelihatan kecil.
Kumpulan berkenaan kata Kenanga, turut berasa optimis mengenai perolehan yang mendapat momentum pada enam bulan terakhir 2025 disokong disiplin kecekapan operasi lebih baik daripada usaha pengoptimuman kos mereka secara berterusan.
Dari segi penilaian harga perolehan (PE), KPJ Healthcare didagangkan 36 kali unjuran hasil 2025 dan 31 kali ganda untuk 2026, berbanding operator setaranya, Hospital Bumrumgrad Thailand dan Bangkok Dusit masing-masing 17 kali dan 20 kali.
Melangkaui tahun ini kata firma tersebut, kumpulan itu akan menambah 800 katil, menjadikan jumlahnya 5,200 katil, dengan perbelanjaan modal sehingga RM400 juta sepanjang 2025 serta peluang pengambilalihan untuk pertumbuhan masa depan.
"KPJ Healthcare juga sedang meninjau untuk memperoleh beberapa lagi hospital atau aset hasil yang merupakan pelengkap kepada perniagaan terasnya untuk mengukuhkan perkembangan perniagaan secara jangka panjang," tambah Kenanga.
Dalam bidang farmaseutikal, firma penyelidikan tersebut berkata, Duopharma Biotech Berhad menjangkakan tempahan kukuh ubat-ubatan daripada pelbagai kontrak ditawarkan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tempoh separuh kedua tahun ini.
Ia berkata, pengurusan kumpulan itu menjangkakan jualan kepada sektor awam pada suku kedua menyumbang 55% hingga 60% daripada barisan teratas dan juga sumbangan sektor swasta yang lebih tinggi, berbanding 47% hingga 50% dicatatkan sebelum ini.
Kenanga menambah, ia menyukai Kotra Industries Berhad kerana model perniagaan bersepadunya merangkumi keseluruhan spektrum rantaian nilai farmaseutikal, daripada penyelidikan dan pembangunan, konsep produk kepada pembuatan dan jualan.
Kumpulan tersebut aktif dalam mengeluarkan dan menjual makanan tambahan serta produk pemakanan dan farmaseutikal di farmasi-farmasi swasta di bawah jenama isi rumah seperti Appeton, Axcel dan Vaxcel.
Syarikat berkenaan juga kata firma penyelidikan itu, banyak menikmati margin secara unggul dalam model perniagaan pembuatan jenama asalnya berbanding pembuatan kontrak dengan margin rendah.
Di samping itu, peningkatan perlahan pengeluaran Nova Wellness Group Berhad di kilang baharunya mungkin akan mengheret sumbangan barisan teratas dan mencecah margin disebabkan skala ekonomi yang lebih teruk daripada jangkaan.
Pertumbuhan pendapatannya kata Kenanga, didorong oleh pengembangan kapasiti, rangkaian pengedaran yang meluas dan penembusan ke hospital awam tempatan. - DagangNews.com








