KUALA LUMPUR 24 Okt – Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) mengumumkan peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO), Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkuat kuasa 7 Januari 2026.
Beliau yang ketika ini berusia 52 tahun itu sudah berkhidmat lebih 10 tahun di bank berkenaan, termasuk selama tujuh tahun sebagai GCEO, dengan hari terakhir perkhidmatannya ialah pada 12 Disember 2025.
Bagi memastikan proses peralihan lancar, Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan – Perbankan Runcit BIMB, Mizan Masram, akan mengambil alih tanggungjawab ke atas kumpulan itu bermula 13 Disember 2025.
"Sejak memegang jawatan pada 2018, beliau memimpin transformasi digital BIMB, termasuk pelaksanaan inisiatif pembayaran elektronik," kata syarikat perbankan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Tambahnya, Mohd Muazzam juga terlibat dalam melancarkan Be U, aplikasi perbankan mudah alih yang berasaskan awan pertama di Malaysia, selain mengetuai penstrukturan semula BIMB pada 2021.
Usaha graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berjaya menjadikan BIMB satu-satunya bank Islam disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Di bawah kepimpinannya, aset kumpulan naik daripada RM64 bilion pada 2018 kepada lebih RM100 bilion, dan pernah diiktiraf antara 50 Syarikat Tersenarai Awam ASEAN Terbaik dari segi tadbir urus korporat.
Dalam kenyataan itu, Mohd Muazzam yang juga lulusan Program Kepimpinan dan Pengurusan Lanjutan dari Said Business School, Universiti Oxford percaya ini masa sesuai memberi fokus kepada matlamat peribadi.
Sementara itu, Lembaga Pengarah BIMB menyampaikan penghargaan atas sumbangan beliau dan turut memulakan proses pencarian GCEO yang baharu. - DagangNews.com








