Mohamad Hafiz Kassim disebut-sebut dilantik sebagai Ketua Pegawai Pelaburan KWSP | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mohamad Hafiz Kassim disebut-sebut dilantik sebagai Ketua Pegawai Pelaburan KWSP

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 Ogos – Mohamad Hafiz Kassim disebut-sebut bakal dilantik sebagai Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkuat kuasa 1 Disember 2025, menurut sumber.


Beliau katanya, dijangka menggantikan Rohaya Mohammad Yusof yang dijadualkan bersara dan pernah melakar rekod menjadi wanita pertama dilantik sebagai CIO dalam sejarah KWSP pada 2020.


Sumber memberitahu, pengumuman pelantikan itu telah dimaklumkan secara dalaman kepada warga kerja KWSP awal minggu ini, sekali gus menandakan satu langkah naik pangkat bagi Mohamad Hafiz.


Pada ketika ini, beliau yang berusia 50 tahun masih lagi memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) dalam agensi pengurusan dana simpanan persaraan tersebut sejak Ogos 2021.


Beliau menyertai KWSP pada Disember 2008 sebagai Ketua Ekuiti Swasta dan pernah dilantik sebagai Pengarah Urusan Kwasa Land Sdn Bhd dari April 2020 hingga Mei 2021 sepanjang perkhidmatan.


Sebelum menyertai KWSP, Mohamad Hafiz pernah berkhidmat di beberapa syarikat ternama termasuk firma Daiwa Capital Markets, PwC United Kingdom dan Malaysia, serta Telekom Malaysia Berhad.


Rohaya pula, dilapor akan mengambil alih peranan baharu sebagai Pengerusi Panel Pelaburan di Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP], yang merupakan agensi skim pencen kakitangan awam.


Menurut laman web rasmi KWAP, jawatan tersebut kini disenaraikan sebagai masih kosong, yang memberi isyarat bahawa pengumuman rasmi dijangka dilaksanakan tidak lama lagi.


Sepanjang lima tahun lalu, KWSP konsisten memberikan pulangan dividen kompetitif, antara 5.2% (2020) hingga 6.3% (2024) bagi simpanan konvensional dan 4.9% (2020) hingga 6.3% (2024) simpanan Shariah.


Setakat akhir 2024, KWSP menguruskan aset bernilai RM1.25 trilion dengan lebih 16 juta ahli aktif dan tidak aktif, menjadikannya institusi pelaburan terbesar negara dari segi pengurusan dana.


Pelantikan Mohamad Hafiz dijangka mengukuhkan kesinambungan strategi pelaburan KWSP dalam meneruskan mandat menyediakan pulangan mampan kepada pencarum, sambil menyesuaikan strategi dengan cabaran ekonomi global dan landskap pasaran kewangan yang dinamik. - DagangNews.com