Model pembayaran antara langkah jangka panjang tangani caj perubatan swasta - Amir Hamzah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Model pembayaran antara langkah jangka panjang tangani caj perubatan swasta - Amir Hamzah

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 Feb - Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) bakal melaksanakan pelbagai usaha yang lebih baik bagi menangani isu kenaikan kos perubatan dan caj-caj rawatan melibatkan pihak hospital swasta.

 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah itu antara mekanisme yang akan diteliti dalam menguruskan peningkatan inflasi sehingga mengakibatkan kenaikan kadar premium insurans perubatan.

 

“Justeru, antara usaha itu ialah pelaksanaan model pembayaran secara ‘diagnostic related group’ (kelompok berkaitan diagnostik) dan meningkatkan ketelusan ke atas kos ubat-ubatan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat.

 

Beliau menyatakan itu ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (Pakatan Harapan - Bagan) yang ingin mengetahui langkah kerajaan bagi menghindari kos perubatan swasta daripada terus naik dengan sewenang-wenangnya.

 

Menjelaskan lebih lanjut, Amir Hamzah berkata, pihak kerajaan menerusi KKM juga sedang melaksanakan perbandingan kos perubatan lazim dalam usaha mengutamakan proses reformasi kesihatan awam yang cukup menyeluruh.

 

Malahan ujarnya, beberapa lagi langkah lain yang boleh boleh diambil sendiri oleh pihak hospital swasta turut dilakukan untuk membendung inflasi kos perubatan yang sedang dibincangkan sebagai penyelesaian jangka panjang.

 

“Kerajaan ada juga buat beberapa langkah interim tetapi ini hanya dapat beri sokongan sementara kepada pemegang polisi insurans, namun isu pokok permasalahan masih terletak pada peningkatan inflasi kos,” tambahnya.

 

Amir Hamzah berkata, situasi itu menyebabkan kadar tuntutan insurans dan takaful perubatan serta kesihatan semakin meningkat melebihi dana premium yang terkumpul secara berterusan malah tidak cukup membayar tuntutan.

 

Keadaan itu jelasnya, mengakibatkan operator insurans hayat dan takaful keluarga tidak lagi berupaya menawarkan produk yang menanggung kerugian secara berterusan dan seterusnya menjejaskan pilihan kepada pengguna.

 

Sekiranya senario dialami operator itu terus berlaku tambahnya, penggguna tidak lagi dapat mengakses produk dan perlu menanggung sendiri segala perbelanjaan kesihatan dengan menggunakan sumber kewangan sendiri.

 

“Keuntungan daripada portfolio insurans lain secara am tidak wajar diguna untuk menyerap kerugian dalam porfolio kesihatan dan perubatan, kerana ini tidak adil kepada pemegang yang tidak beli skim itu,” tegas Amir Hamzah.

 

Beliau turut menyenaraikan langkah diambil Bank Negara Malaysia bagi mengekang kenaikan premium kepada pemegang polisi dan meringankan beban kewangan yang dihadapi rakyat terutama berpendapatan rendah.

Antaranya ujar beliau, pengagihan pelarasan premium yang disebabkan inflasi tuntutan perubatan untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun dengan langkah berkenaan akan dilaksanakan akhir tahun depan.

 

Begitu juga penangguhan pelarasan premium disebabkan inflasi itu selama setahun bagi pemegang polisi berumur 60 tahun ke atas dan dilindungi di bawah pelan minimum produk insurans atau takaful kesihatan yang dibeli.

 

“Langkah ketiga ialah pemegang tersebut yang sudah menyerahkan polisi atau polisi telah luput pada 2024 disebabkan penetapan semula premium boleh menghubungi operator untuk memohon pelarasan diaktifkan,” katanya. - DagangNews.com