Modal kerja Steel Hawk dikhuatiri terjejas akibat bergantung pembiayaan luar, kata TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Modal kerja Steel Hawk dikhuatiri terjejas akibat bergantung pembiayaan luar, kata TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 NovTA Securities menyuarakan kebimbangan terhadap kedudukan modal kerja Steel Hawk Berhad, selepas beberapa pengumuman terkini menunjukkan ia semakin bergantung pembiayaan luar.


Selain itu, firma penyelidikan berkenaan menambah, kumpulan perkhidmatan kejuruteraan utiliti tersebut dilihat lebih bersandarkan kepada dana daripada hasil kutipan modal bagi tujuan mobilisasi projeknya.


Ia menegaskan, keperluan pembiayaan berterusan itu mencerminkan risiko kecairan, memandangkan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bersifat intensif modal.


"Justeru, kami mengekalkan unjuran pendapatan bagi FY25 hingga FY27 tanpa perubahan kerana kontrak baharu dijangka menyumbang secara sederhana kepada akhir FY25 dan awal FY26," kata TA Securities.


Firma tersebut turut mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran sesaham yang juga masih tidak berubah iaitu 31 sen, berdasarkan unjuran sebanyak 8.5 kali pendapatan sesaham (EPS) pada FY26.


Di sebalik kebimbangan tersebut, Steel Hawk berupaya menerima kontrak bernilai RM35 juta daripada Binalite Electrical Engineering Sdn Bhd untuk membangunkan sambungan bekalan pukal kapasiti 275kV.


Kontrak selama lapan bulan bermula 12 November 2025 itu melibatkan sebuah pusat data di selatan Semenanjung Malaysia dan TA Securities menjangkakan ada sumbangan positif kepada keputusan FY25.


"Projek voltan tinggi pertama berkaitan pusat data ini dilihat sebagai perkembangan strategik, yang mengembangkan lagi keupayaan teknikal Steel Hawk melepasi kerja pengagihan biasa," kata firma itu.


Dengan kontrak baharu ini jelas firma berkenaan, buku tempahan kerja EPCC kumpulan tersebut turut meningkat daripada hanya RM155.8 juta kepada sebanyak RM190.8 juta, yang dinilai sebagai positif.


Pengurusan Steel Hawk tambah TA Securities, menjangkakan margin kasar mampu mencecah sekitar 20%, manakala margin bersih pula adalah 11%, selari dengan struktur keuntungan projek EPCC sebelum ini.


Selain itu, ia menegaskan bahawa kemenangan projek yang berterusan menyokong sasaran buku tempahan bagi FY26, meskipun risiko pembiayaan masih menjadi perhatian utama. - DagangNews.com