MN Holdings raih kontrak RM128 juta projek pembangunan fasiliti pusat data di Lembah Klang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MN Holdings raih kontrak RM128 juta projek pembangunan fasiliti pusat data di Lembah Klang

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 2 AprilMN Holdings Berhad memperoleh surat penganugerahan (LOA) projek pembinaan kemudahan infrastruktur tenaga sebuah pusat data (DC) di Lembah Klang yang bernilai RM128 juta.


Kumpulan tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, tender diraih oleh anak syarikat milik penuhnya, MN Power Transmission Sdn Bhd menerusi surat bertarikh 10 Februari 2026.


Kontrak terbaharu berkenaan jelasnya, dianugerahkan oleh sebuah syarikat penyedia infrastruktur hos data dan pemprosesan yang tidak didedahkan namanya, namun hanya dirujuk sebagai Company A.


"Ia melibatkan pembinaan stesen darat pengguna (CLS) berkapasiti 275 kilovolt (kV), dengan skop kerja merangkumi pembinaan, pembekalan, pemasangan, ujian serta pentauliahan," kata MN Holdings.


Ini termasuk bangunan utama dan kerja-kerja luaran berkaitan, bermula pada 10 Februari 2026 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 17 Disember 2026, tertakluk kepada sebarang pelarasan tarikh.


Menurutnya, projek itu dijangka memberi sumbangan positif kepada hasil serta aset bersih sesaham kumpulan, tanpa menjejaskan sebarang modal saham terbitan atau pegangan pemegang saham utama.


Lembaga Pengarah MN Holdings menyatakan tiada risiko ketara dijangka selain risiko operasi biasa, dan penerimaan LOA itu tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa berkaitan.


"Selain itu, tiada mana-mana pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkepentingan mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam urus niaga kontrak berkenaan," jelasnya.


Penerimaan projek itu adalah selaras dengan kepentingan terbaik syarikat dan memperkukuh kedudukan kumpulan dalam segmen infrastruktur tenaga, khususnya industri DC di Malaysia. - DagangNews.com