KUALA LUMPUR 17 April - MN Holdings Bhd (MNHB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, MN Utilities Engineering Sdn Bhd (MNUESB), menerima tempahan belian (PO) bernilai RM275.89 juta bagi pelaksanaan projek infrastruktur pusat data di wilayah tengah Semenanjung Malaysia.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat berkata kontrak tersebut dianugerahkan oleh sebuah syarikat yang terlibat dalam penyediaan infrastruktur pengehosan dan perkhidmatan pemprosesan data.
Skop kerja merangkumi reka bentuk, pembekalan, pemasangan, penyelenggaraan, pengujian dan pentauliahan stesen pendaratan pelanggan (CLS) 275 kilovolt (kV) bagi projek pusat data berkenaan.
Menurut MNHB, kontrak itu akan dilaksanakan secara dua fasa dan dijangka siap menjelang 30 Jun 2027.
“Pecahan pelaksanaan projek akan dibincangkan lanjut antara kedua-dua pihak,” menurut syarikat itu.
Syarikat turut menjelaskan bahawa nilai kontrak tidak termasuk duti import Malaysia serta Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
MNHB berkata penerimaan kontrak tersebut dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan masa hadapan serta aset bersih sesaham kumpulan apabila projek bermula.
Bagaimanapun, tiada kesan kepada modal saham terbitan dan pegangan pemegang saham utama, manakala kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa tidak diperlukan bagi transaksi berkenaan.
Syarikat turut memaklumkan bahawa tiada pengarah atau pemegang saham utama mempunyai sebarang kepentingan dalam kontrak tersebut. - DagangNews.com








