KUALA LUMPUR 7 Nov — MMS Ventures Berhad mengesahkan anak syarikatnya, Evolusys Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (ETMSB), digugurkan daripada pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Kumpulan rumusan teknologi kejuruteraan automasi industri diperbadankan pada 1997 itu berkata, permohonan pelupusan subsidiari tersebut diluluskan di bawah Seksyen 550 Akta Syarikat 2016.
Langkah penutupan secara pentadbiran itu dilakukan sebagai sebahagian daripada rasionalisasi korporat kumpulan, memandangkan ETMSB tidak lagi aktif menjalankan sebarang operasi perniagaan.
Permohonan diserah kepada SSM pada 3 Jun 2025, dan ETMSB secara rasmi digugurkan pada 22 September 2025 melalui Warta (2)308(4)/Gazette 551(3)," maklum MMS Ventures kepada Bursa Malaysia.
ETMSB yang ditubuhkan pada 2002 dan beroperasi di Kawasan Perindustrian Bayan Lepas, Pulau Pinang dengan terlibat dalam pembangunan rumusan ujian optoelektronik dan pencahayaan keadaan pepejal.
MMS Ventures menegaskan yang tindakan tersebut tidak akan memberi kesan material terhadap aset ketara bersih (NTA) mahupun nisbah hutang kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Ia turut menjelaskan yang tiada pengarah atau pemegang saham utama mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam proses tersebut, selain pegangan saham mereka dalam syarikat induk.
Langkah ini dijangka membolehkan MMS Ventures memfokuskan sumber dan strategi kepada segmen perniagaan teras lebih menguntungkan serta memperkemas struktur korporat. - DagangNews.com








