KUALA LUMPUR 25 Jun — MMC Port Holdings Sdn Bhd dikatakan sedang meneruskan usaha untuk penyenaraian yang dirancangnya di Bursa Malaysia, lapor Bloomberg.
Menurut individu yang mengetahui mengenai syarikat itu, langkah tersebut boleh menjadi tawaran awam permulaan (IPO) terbesar di negara ini dalam tempoh lebih sedekad.
Pengendali pelabuhan itu, yang dimiliki oleh taikun terkenal Malaysia, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, telah memfailkan dokumen penyenaraian kepada pengawal selia.
Tambah individu yang tidak mahu didedahkan identitinya itu kepada Bloomberg, MMC Port sedang menunggu kelulusan rasmi untuk menerbitkan draf prospektus.
Katanya, syarikat tersebut berusaha untuk mengumpul dana kira-kira AS$2 bilion (kira-kira RM5.5 bilion) dalam jualan sahamnya sejurus penyenaraian pada September 2025.
Penyenaraian yang dirancang itu menurut beberapa individu lain, boleh menilai permodalan syarikat berkenaan sebanyak AS$7 bilion (kira-kira RM19.26 bilion).
Pertimbangan berterusan dan butiran termasuk saiz dan masa kemungkinan boleh berubah, selain MMC Port juga mungkin membuat keputusan untuk tidak meneruskan IPO itu.
Wakil syarikat berkenaan dan syarikat induknya MMC Corporation Berhad ketika dihubungi tidak menjawab permintaan Bloomberg untuk mendapatkan ulasan yang selanjutnya.
Terdahulu, Bloomberg pada Oktober 2024 pernah melaporkan MMC Ports sedang bekerjasama dengan penasihat kewangan mengenai rancangan penerbitan IPO tersebut.
Syarikat berkenaan mengendalikan tujuh pelabuhan di sepanjang Selat Melaka, antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia, dan merupakan pengendali terbesar di Malaysia.
IPO MMC Port itu dijangka menjadi yang terbesar sejak kumpulan perladangan FGV Holdings Berhad memperoleh lebih RM10 bilion ketika penyenaraian pada 2012. - DagangNews.com








