MMAG lantik Farhash Wafa Salvador sebagai Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MMAG lantik Farhash Wafa Salvador sebagai Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 28 Mac - MMAG Holdings Berhad melantik Datuk Wira Farhash Wafa Salvador sebagai Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif syarikat berkenaan.
 

Pelantikan tokoh perniagaan dan pelabur terkenal itu setelah beliau muncul sebagai pemegang saham utama syarikat tersebut dengan pegangan sebanyak 20 peratus.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia menyatakan Farhash sebagai seorang yang berpengalaman luas dalam bidang keusahawanan, perundingan dan penasihatan. 


Beliau kini ialah Pengerusi Eksekutif Kumpulan Apex Equity Holdings Berhad, sebuah firma pembrokeran saham dan perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia.


Selain itu, beliau memegang jawatan Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif 7-Eleven Malaysia Holdings Berhad serta Pengerusi Eksekutif Excel Force MSC Berhad dan Key Alliance Group Berhad.  


Di luar peranan korporatnya, Farhash menganggotai Lembaga Penasihat Yayasan Usahawan Malaysia, sebuah badan bukan kerajaan yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan keusahawanan.  


Dalam perkembangan berasingan, MMAG menerusi makluman di bursa, mengumumkan bahawa Chan Swee Ying dan Chin Boon Long tidak lagi menjadi pemegang saham utama syarikat.


Susulan langkah tersebut, Swee Ying turut meletakkan jawatan sebagai Pengarah Ganti kepada Boon Long di MMAG.  


Di samping itu, MMAG melantik Pengarah Eksekutif Velocity Capital Partner Berhad, See Toh Kean Yaw, sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif pada 27 Mac 2025.


Pelantikan ini dibuat selepas Velocity memperoleh pegangan sebanyak 6.49 peratus dalam MMAG pada 3 Mac 2025, seperti yang diumumkan kepada Bursa Malaysia pada 4 Mac 2025. 


Kean Yaw akan bertindak sebagai wakil lembaga bagi pihak Velocity. 


MMAG juga melantik Pengarah Eksekutif NexG Berhad, Erna Ismail sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif hari ini.  


Pada 27 Mac 2025, NexG muncul sebagai pemegang saham utama MMAG selepas memperoleh pegangan sebanyak 9.53 peratus dalam syarikat. Erna akan bertindak sebagai wakil lembaga bagi pihak NexG dalam MMAG. - DagangNews.com