KUALA LUMPUR 11 Mac — Program Malaysia My Second Home (MM2H) yang diubah suai kerajaan berjaya menarik sejumlah RM455.8 juta deposit tetap (FD) kepada bank tempatan sejak Jun 2024.
Agensi teknologi hartanah IQI berkata, ia memetik data rasmi yang merekodkan sejumlah 782 kelulusan di bawah permohonan baharu skim berkenaan setelah diperkenalkan semula pada pertengahan 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IQI, Kashif Ansari berkata, perkembangan semasa itu akan membawa kepada FD hampir sebanyak RM1 bilion ditempatkan di institusi kewangan Malaysia setiap tahun.
“Pelaburan berjumlah RM455.8 juta yang dibawa masuk oleh pemegang visa ini ke Malaysia sejak enam bulan lalu digunakan dalam dua cara," katanya dalam satu kenyataan.
Pertama wang tersebut ujarnya, akan beredar melalui ekonomi negara ini dalam bentuk FD di pelbagai akaun institusi kewangan tempatan, pembiayaan pinjaman dan pembangunan.
Kedua, pelaksanaan kembali MM2H turut menyaksikan penyaluran pelaburan baharu ke dalam pembelian hartanah, yang kebiasaannya rumah mewah untuk penerima visa dan keluarga mereka.
“Ia menyokong pembinaan rumah baharu dan memacu berjuta-juta dolar dalam pembelian berkaitan kerana mereka menyediakan dan mengubahsuaikan rumah baharu,” kata Kashif.
Majoriti daripada 53,000 pemegang pas MM2H semasa adalah warga China (24,765), diikuti Australia (9,265), Korea Selatan (4,940), Jepun (4,733), Bangladesh (3,604), dan Britain (2,234).
Selain itu, terdapat kurang daripada seramai 1,000 pemegang pas yang berasal dari Amerika Syarikat (AS), Singapura, Taiwan dan India.
Beliau berkata pemohon dari China terdiri kurang satu pertiga daripada pemegang pas yang memperoleh visa mereka tahun lepas, dan menunjukkan MM2H menarik minat individu dari pelbagai negara lain.
Justeru, Kashif mencadangkan kerajaan melihat ke arah memudahkan pemegang pas MM2H bekerja atau memulakan perniagaan di Malaysia, sambil menambah bahawa insentif cukai akan menggalakkan mereka membantu merangsang ekonomi tempatan.
“Dengan MM2H kini memacu pelaburan hampir RM1 bilion setahun, jelas sekali program itu berjaya. Pada tahun-tahun akan datang, nilainya mungkin lebih banyak lagi,” kata pengasas bersama IQI itu.
MM2H ialah program khas untuk warga asing yang kaya dengan memperoleh visa tinggal lama sehingga 15 tahun sebagai balasan untuk pelaburan kewangan dan hartanah antara AS$150,000 hingga AS$2 juta (kira-kira RM665,000 hingga RM8.86 juta).
Ia mulanya diperkenalkan oleh kerajaan pada 2002, bagi membolehkan rakyat asing yang berpendapatan tinggi untuk membeli hartanah dan tinggal di Malaysia bagi tempoh panjang.
Bagaimanapun skim itu dibekukan buat sementara waktu pada Ogos 2020 untuk semakan oleh Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).
Ia telah dirombak pada 2021 dengan syarat lebih ketat sebelum disemak sekali lagi setelah Datuk Seri Tiong King Sing mengambil alih jawatan menteri, dengan pengenalan tiga peringkat dan peraturan pembiayaan yang dikemas kini. - DagangNews.com








