IPOH 20 Nov - MK Land menerusi pemajunya, Naluri Majujaya Sdn. Bhd. (Naluri Majujaya) melancarkan rumah contoh projek terbaharu mereka, Miltonia di Taman Teja Perdana, Simpang Pulai dekat Gopeng.
Ini merupakan rumah teres mampu milik 2 tingkat bagi projek Rumah Perakku 3.
Pembukaan rumah contoh tersebut memberi peluang kepada orang ramai melihat sendiri kediaman teres dua tingkat mampu milik yang dibangunkan untuk memenuhi sasaran.
Menurut Pengurus Besar Kanan Wilayah Utara MK Land, Norida Abu Kassim, Miltonia menawarkan pilihan kediaman moden dengan harga mampu milik, selain mengekalkan standard kualiti yang menjadi keutamaan syarikat.

Katanya, projek Miltonia menyediakan 56 unit rumah teres dua tingkat dengan harga bermula RM250,000, dilengkapi 4 bilik tidur, 3 bilik air serta saiz binaan 397.15 meter persegi.
“Antara kelebihan lain termasuk siling setinggi 3.3 meter memberi ruang dalaman lebih luas, selain anjung berbumbung yang direka untuk keselesaan seisi keluarga.
“Pembeli juga menikmati tawaran menarik seperti bayaran tempahan RM150, percuma yuran guaman perjanjian jual beli, serta percuma yuran guaman pinjaman sehingga RM3,300 (tertakluk terma dan syarat),” ujarnya.
Terletak dalam kawasan pembangunan seluas 219 ekar, Taman Teja Perdana berada berhampiran kemudahan penting.


Antaranya Sekolah Kebangsaan Pengkalan Baru, Masjid Ar-Rahmaniah, Mydin RTC Gopeng, Silverlake Village Outlet Batu Gajah dan Kellie’s Castle.
Akses ke pekan Simpang Pulai, Gopeng dan Batu Gajah juga memudahkan penduduk mendapatkan kemudahan harian seperti sekolah menengah, bank dan kedai-kedai utama.
Norida berkata, Naluri Majujaya yang telah lebih 30 tahun dalam industri pembangunan hartanah, sebelum ini menyiapkan dua projek di kawasan sama iaitu Kenanga (137 unit) dan Melur (117 unit) yang kini didiami sepenuhnya.
Tambahnya, semua projek syarikat menekankan mutu pembinaan yang mematuhi piawaian Q-Lassic CIDB, selain disokong Jabatan Khidmat Pelanggan bagi memastikan layanan selepas jualan berjalan lancar.
“Orang ramai dijemput hadir ke majlis pembukaan rumah contoh Miltonia pada Sabtu ini bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang di tapak projek Taman Teja Perdana.
“Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi 05-525 3077 bagi sebarang pertanyaan,” ujarnya. - DagangNews.com







