MITI pinda kadar duti import antilambakan dawai keluli berlembar dari China | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MITI pinda kadar duti import antilambakan dawai keluli berlembar dari China

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Feb - Kerajaan melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah melaksanakaan pindaan terhadap duti antilambakan ke atas import dawai keluli berlembar untuk konkrit prategasan yang berasal dari atau dieksport dari Republik Rakyat China (China).

 

Ia susulan kajian semula semakan pentadbiran yang telah dijalankan pada 8 Ogos 2024 lalu berdasarkan permohonan dikemukakan oleh Southern PC Steel Sdn Bhd yang mewakili bagi pihak industri tempatan.

 

MITI dalam satu kenyataan berkata, menurut subseksyen 28(1) Akta Anti-Lambakan dan Duti Balas 1993 (Akta 504), semakan tersebut telah dijalankan oleh kerajaan untuk menentukan kewujudan perubahan dalam margin lambakan ke atas import barangan subjek dari China.

 

Ia khususnya daripada dua pengeluar atau pengeksport negara berkenaan iaitu Tianjin Dalu Steel Strand For Prestressed Co. Ltd. dan Silvery Dragon Prestressed Materials Co. Ltd. Tianjin.

 

Justeru, selaras Akta 504 dan Peraturan-Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994, kerajaan telah menyempurnakan semakan pentadbiran ini dan membuat penentuan muktamad bahawa margin lambakan telah berubah untuk dua pengeluar atau pengeksport China yang dinamakan.

 

Kadar duti baharu untuk Silvery Dragon Prestressed Material Co. Ltd .Tianjin ditetapkan kepada 9.07 peratus, Tianjin Dalu Steel Strand For Prestressed Co. Ltd pula 3.12 peratus manakala pengeluar atau pengeksport asing lain dari negara tersebut adalah 21.72 peratus.

 

MITI berkata bahawa kutipan duti antilambakan ini akan dikuatkuasakan oleh pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia bermula dari 5 Februari 2025 sehingga 24 Disember 2026.

 

Pihak yang berkepentingan termasuk pengimport, pengeluar asing, pengeksport dan persatuan yang berkaitan dengan semakan semula pentadbiran ini boleh mendapatkan salinan versi tidak sulit laporan Penentuan Muktamad dengan mengemukakan permintaan bertulis.

 

Ia hendaklah dimohon kepada Pengarah, Bahagian Amalan Perdagangan MITI, Tingkat 9, Menara MITI, No 7, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah, 50480 Kuala Lumpur atau menghubungi nombor telefon : (603) 6208 4632/4640 atau alamat e-mel : [email protected] manakala maklumat lanjut boleh disemak menerusi laman https://www.miti.gov.my/index.php/pages/view/8405.  - DagangNews.com