KUALA LUMPUR 16 Jun — Persekutuan Industri Besi dan Keluli Malaysia (MISIF) bimbang langkah peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas produk besi dan keluli akan memberi tekanan kewangan serius kepada sektor itu.
Pada masa sama, kumpulan yang mewakili lebih daripada 150 syarikat dalam perusahaan keluli tempatan itu memberi amaran pelaksanaan sistem percukaian berkenaan dikhuatiri boleh memberi ancaman kepada industri tersebut.
Tambahnya, masa pelancaran SST sangat tidak sesuai kerana mereka beroperasi dalam persekitaran rapuh dan terpaksa bergelut dengan penggunaan kapasiti rendah, permintaan lemah serta persaingan serantau yang meningkat.
"Beban tambahan itu tidak diserap tetapi dipindah kepada kilang keluli, padahal industri berdepan peningkatan kos input, margin ketat dan sama ada terpaksa menaikkan harga atau menyerap kerugian," katanya dalam kenyataan.
Situasi buruk itu tambah MISIF kerana peluasan SST merangkumi item yang dikecualikan sebelum ini termasuk arang kok, komponen keluli, sekerap keluli, jentera perindustrian, serta perkhidmatan seperti pajakan dan penyewaan.
Sehubungan itu, ia memberi peringatan bahawa ini cukai tersebut sekiranya tetap diteruskan kerajaan bermula pada 1 Julai 2025, dibimbangi boleh meningkatkan kos sepanjang rantaian bekalan dan menjejaskan daya saing mereka.
Tambahan pula katanya, cukai perkhidmatan yang diperluaskan ke atas perkhidmatan teras akan meningkatkan dengan ketara kos operasi bagi pengilang, terutama yang bergantung kepada premis dipajak dan perkhidmatan pembinaan.
"Kos itu turun ke rantaian bekalan, membebankan pengguna dan memberi kesan negatif kepada sektor pembinaan kerana ia pemacu utama permintaan keluli, yang menyumbang 63% daripada jumlah penggunaan domestik," katanya.
MISIF juga khuatir liputan cukai yang tidak konsisten bagi produk keluli, dengan memberikan contoh beberapa barangan penting seperti dawai keluli dan keluli tahan karat kini tiba-tiba dikenakan cukai jualan sehingga 10%.
Malah ia merujuk barangan seperti dulang kabel berlubang yang turut dikenakan peluasan SST sebanyak lima peratus tanpa ada sebarang alasan yang jelas, serta menambah kos pembuatan serta mengakibatkan ketidakpastian industri.
Persatuan berkenaan selain itu mengkritik kekurangan perbincangan bersama pemain industri sebelum pengumuman itu dengan persiapan kurang sebulan, ketika pihak pengilang pula bergelut melaksanakan baik pulih sistem secara luas.
“Walaupun ada tempoh 'bertenang' sehingga Disember 2025 yang menawarkan beberapa penangguhan, masa secara singkat menimbulkan risiko serius kepada ketidakpatuhan yang tidak diingini dan gangguan operasi,” katanya.
MISIF justeru menggesa kerajaan menunda pelaksanaan SST itu dan memberi masa untuk perundingan sewajarnya dengan pihak industri serta dilakukan kajian impak komprehensif untuk mengenal pasti pengecualian yang diperlukan.
Ini termasuk kadar ambang dan strategi pelaksanaan percukaian dalam beberapa peringkat di samping juga menyeru supaya kerajaan dapat mengeluarkan garis panduan yang lebih jelas dan sokongan peralihan kepada SST.
Langkah-langkah sebegini tambahnya, penting untuk memastikan industri besi dan keluli dapat menyesuaikan diri dengan berkesan tanpa menjejaskan transformasi, daya saing atau ketahanan industri. - DagangNews.com








