MISC tambah dua lagi kapal LNG generasi baharu cekap tenaga dengan penamaan Seri Dian, Seri Dayang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MISC tambah dua lagi kapal LNG generasi baharu cekap tenaga dengan penamaan Seri Dian, Seri Dayang

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 8 Mei - MISC Bhd memperkukuh kedudukannya dalam industri perkapalan gas asli cecair (LNG) global menerusi penambahan dua kapal LNG generasi baharu, Seri Dian dan Seri Dayang.

 

Dalam kenyataan hari ini, kumpulan itu berkata, penamaan kedua-dua kapal tersebut pada 7 Mei 2026 turut memperkukuh kerjasama jangka panjang syarikat dengan SeaRiver Maritime LLC (SRM), anak syarikat milik penuh ExxonMobil.

 

Menurut MISC, kapal LNG berkapasiti 174,000 CBM itu dibina oleh Hanwha Ocean Co., Ltd. dan dilengkapi teknologi pintar serta cekap tenaga termasuk sistem Intelligent Control by Exhaust Recycling (ICER).

 

“Kapal ini turut dilengkapi sistem penyimpanan kargo yang dipertingkatkan dengan kadar boil-off lebih rendah bagi meningkatkan kecekapan dan menyokong operasi lebih selamat,” katanya.

 

MISC Dian

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC, Zahid Osman berkata, penamaan Seri Dian dan Seri Dayang menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha syarikat memacu pertumbuhan berdisiplin dan kecemerlangan operasi.

 

“Kerjasama kami dengan SeaRiver Maritime dibina atas asas kukuh kepercayaan dan prestasi serta membuktikan bagaimana kolaborasi strategik mampu diterjemahkan kepada tindakan bermakna.

 

“Pengurusan projek yang lancar turut menyumbang kepada pencapaian kumulatif dua juta jam kerja selamat pada 30 Mac 2026 tanpa sebarang kecederaan hilang masa,” katanya.

 

Majlis penamaan kapal tersebut disempurnakan oleh Puan Hanh Nguyen selaku Lady Sponsor bagi kedua-dua kapal.

 

Acara itu turut dihadiri wakil ExxonMobil, SeaRiver Maritime, Hanwha Ocean, Lloyd’s Register serta pengurusan kanan Kumpulan MISC.

 

Dengan penambahan Seri Dian dan Seri Dayang, MISC kini mengendalikan empat kapal LNG di bawah kontrak sewaan jangka panjang bersama SeaRiver Maritime.

 

Secara keseluruhan, armada LNG MISC kini terdiri daripada 32 kapal, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pemilik dan pengendali kapal LNG terkemuka dunia dengan standard keselamatan dan kecemerlangan operasi bertaraf antarabangsa. - DagangNews.com