KUALA LUMPUR 31 Dis - MISC Berhad mengesahkan empat daripada lima anak syarikat milik penuhnya selesai mengadakan mesyuarat terakhir masing-masing bagi proses pembubaran secara sukarela.
Menurut kumpulan perkhidmatan perkapalan antarabangsa tersebut hari ini, empat subsidiari berkenaan ialah Puteri Firus Sdn Bhd, Puteri Delima Sdn Bhd, Puteri Intan Sdn Bhd, dan Puteri Nilam Sdn Bhd.
"Laporan pelikuidasi bagi setiap sesi mesyuarat akhir itu sudah diserahkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pesuruhjaya rasmi yang terlibat," maklum MISC kepada Bursa Malaysia.
Langkah tersebut jelas kumpulan itu, berdasarkan Seksyen 459(5) Akta Syarikat 2016, dengan empat anak syarikat berkenaan akan dibubarkan dalam masa tiga bulan selepas tarikh penghantaran laporan.
Berdasarkan rekod MISC, subsidiari tersebut dibentuk sekitar 1994 dengan terlibat dalam perniagaan operasi perkapalan, perkhidmatan logistik dan pengangkutan gas asli cecair (LNG) di seluruh dunia.
Bagaimanapun tambah kumpulan itu, hanya Puteri Zamrud Sdn Bhd masih dalam proses pembubaran sukarela dan maklumat mengenai mesyuarat terakhirnya akan diumumkan pada masa yang bersesuaian.
Anak syarikat ini ditubuhkan pada 19 Julai 1994 dengan perniagaan pemilikan dan operasi kapal LNG, seiring fokus MISC dalam pengangkutan gas dan rumusan maritim global. - DagangNews.com








